KUALA LUMPUR: Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya (JKWPKL&P) berkata berlaku kesilapan tidak disengajakan berhubung dakwaan penggunaan kad rekod pemantauan pesakit denggi berbahasa Cina di Klinik Kesihatan Setapak.
Menurut kenyataan JKWPKL&P pada Selasa, siasatan mendapati insiden itu berlaku pada 18 Mei 2026 melibatkan seorang pesakit kanak-kanak yang mendapatkan rawatan bagi kes disyaki demam denggi.
Jelas JKWPKL&P, penggunaan rekod pemantauan pesakit secara rasmi adalah dalam Bahasa Melayu, namun pihak klinik turut menyediakan kad pemantauan dalam beberapa bahasa lain sebagai inisiatif sokongan komunikasi kepada pesakit dan penjaga.
“Dalam kes ini, telah berlaku kesilapan pemberian kad berlainan bahasa kepada penjaga pesakit yang tidak disengajakan.
"Bagaimanapun penerangan berkaitan rawatan dan pemantauan tetap diberikan oleh pegawai perubatan kepada pesakit dalam Bahasa Melayu termasuk catatan bertulis pada kad berkenaan,” kata JKWPKL&P.
Susulan insiden itu, pihak jabatan mengambil langkah penambahbaikan segera bagi memastikan pemberian kad pemantauan dibuat dengan lebih teliti dan bersesuaian.
Pihak jabatan juga akan mengekalkan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dalam urusan penyampaian perkhidmatan kesihatan kerajaan.
“JKWPKL&P ingin memohon maaf atas kekeliruan yang berlaku dan kekal komited untuk terus memastikan penyampaian perkhidmatan kesihatan yang berkualiti, selamat dan mesra rakyat,” ujar kenyataan itu lagi.