BISNES
Malaysia catat jumlah dagangan lebih tinggi pada Jan-Ogos 2025 berbanding 2024 - MITI

Jumlah dagangan meningkat 3.8 peratus tahun ke tahun kepada RM1.98 trilion antara Januari dan Ogos, dengan eksport dan import masing-masing naik 3.9 peratus kepada RM1.03 trilion dan 3.6 peratus kepada RM945.62 bilion. - Gambar hiasan
Malaysia merekodkan jumlah dagangan lebih tinggi bagi tempoh lapan bulan pertama tahun ini dengan eksport melebihi RM1 trilion sebulan lebih awal berbanding 2024, kata Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).
Ringkasan AI
- Malaysia mencatat jumlah dagangan RM1.98 trilion bagi tempoh Januari hingga Ogos 2025, meningkat 3.8 peratus berbanding tahun sebelumnya, dengan eksport melebihi RM1 trilion sebulan lebih awal berbanding 2024.
- Walaupun jumlah dagangan Ogos merosot 1.9 peratus tahun ke tahun, eksport meningkat 1.9 peratus kepada RM131.6 bilion, manakala import menurun 5.9 peratus, menghasilkan lebihan dagangan RM16.13 bilion untuk bulan ke-64 berturut-turut.
- Peningkatan dagangan dipacu oleh barangan elektrik dan elektronik, jentera, barangan optikal dan saintifik serta minyak sawit, dengan MITI menggalakkan pengeksport mempelbagaikan produk dan memanfaatkan 18 perjanjian perdagangan bebas yang telah diratifikasi.
Bagaimanapun, MITI berkata jumlah dagangan Malaysia pada Ogos 2025 merosot sedikit sebanyak 1.9 peratus tahun ke tahun kepada RM247.07 bilion di tengah-tengah perubahan landskap perdagangan global, walaupun eksport meningkat bagi dua bulan berturut-turut sebanyak 1.9 peratus kepada RM131.6 bilion.
"Sementara itu, import merosot 5.9 peratus kepada RM115.47 bilion. Ia menghasilkan lebihan dagangan sebanyak RM16.13 bilion, yang ke-64 bulan berturut-turut sejak Meo 2020, peningkatan 153.8 peratus berbanding Ogos 2024," kata MITI.
Menurut kementerian itu, eksport meningkat pada Ogos 2025 yang dipacu oleh prestasi kukuh dalam kedua-dua barangan perkilangan dan keluaran pertanian, dengan eksport pertanian pulih daripada pertumbuhan negatif yang direkodkan pada Julai 2025.
Peningkatan dagangan itu terutamanya disumbangkan oleh barangan elektrik dan elektronik, diikuti oleh jentera, kelengkapan dan peralatan, barangan optikal dan saintifik serta minyak sawit serta keluaran pertanian berasaskan minyak sawit.
Menurut MITI, lebih memberangsangkan eksport barangan optikal dan saintifik mencatatkan nilai tertinggi setakat ini.
Sementara prestasi keseluruhan dagangan Malaysia kekal kukuh bagi tempoh Januari hingga Ogos 2025, pengeksport digalakkan untuk menambah baik dan mempelbagaikan penawaran produk mereka, dan meningkatkan kecekapan rantaian bekalan bagi mengurangkan kesan peralihan akibat perubahan dasar serta ketidaktentuan dalam landskap perdagangan global.
Pengeksport juga digalakkan untuk memanfaatkan 18 perjanjian perdagangan bebas yang telah diratifikasikan oleh Malaysia dengan pelbagai negara dan ekonomi.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami