KUALA LUMPUR: Malaysia mencatatkan jumlah perdagangan bernilai RM222.1 bilion pada Jun 2023 dengan eksport dan import masing-masing bernilai RM124.0 bilion dan RM98.2 bilion, kata Jabatan Perangkaan (DOSM).

Ketua Perangkawan Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin dalam kenyataan hari ini berkata eksport dan import masing-masing merosot 14.1 peratus dan 18.9 peratus pada Jun 2023 berbanding Jun 2022.

Katanya penurunan eksport dipengaruhi oleh eksport yang lebih rendah di kebanyakan negeri antaranya Johor turun sebanyak RM9.4 bilion, Sarawak berkurangan sebanyak RM4.6 bilion, diikuti Selangor berjumlah RM3.5 bilion.

Negeri lain termasuk Sabah (-RM1.1 bilion), Perak (-RM847.9 juta), Terengganu (-RM380.1 juta), Kelantan (-RM269.6 juta), Kuala Lumpur (-RM78.8 juta) dan Perlis (-RM13.7 juta).

"Bagaimanapun, nilai eksport meningkat di Pulau Pinang sebanyak RM6.4 bilion, Labuan menambah RM950.5 juta dan Kedah naik sebanyak RM882.6 juta. Negeri lain yang turut mencatat kenaikan eksport adalah Pahang (+RM336.8 juta), Melaka (+RM209.7 juta) dan Negeri Sembilan (+RM81.4 juta)," kata kenyataan itu.

Pulau Pinang kekal sebagai pengeksport utama dengan sumbangan 33.2 peratus daripada jumlah eksport negara, diikuti Johor (20.8 peratus), Selangor (17.3 peratus), Sarawak (6.3 peratus) dan Kuala Lumpur (4.4 peratus), katanya.

Sementara itu, Selangor terus mendominasi import Malaysia dengan 25.8 peratus, diikuti Johor (21.2 peratus), Pulau Pinang (19.8 peratus), Melaka (7.2 peratus) dan Kuala Lumpur (7.1 peratus).

-- BERNAMA