KUALA LUMPUR: Infrastruktur blok rantai MY E.G. Services Bhd (MYEG), Zetrix telah dipilih oleh kerajaan China sebagai satu komponen bagi program penyelidikan usaha sama kerajaan ke kerajaan yang menerajui pengkomersialan.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, katanya, Zetrix platform awam lapisan-1 yang dibangunkan oleh MYEG adalah nod super antarabangsa bagi rantai blok nasional China, Xinghuo dan bersesuaian dengannya.

Menurutnya kerjasama itu yang turut melibatkan Universiti Malaya (UM) dan Akademi Teknologi Maklumat dan Komunikasi China (CAICT) sebagai rakan strategik akan mengukuhkan perdagangan Malaysia-China serta saling kendali data, seterusnya mendorong Malaysia kepada era Web3.

MYEG berkata projek UM dan CAICT bertajuk 'Penyelidikan mengenai isu utama infrastruktur dan aplikasi rintis rantai blok rentas sempadan China-Malaysia' telah dipilih sebagai sebahagian daripada kerjasama antara kerajaan di antara Malaysia dengan China dalam bidang sains, teknologi dan inovasi.

"Dipelopori oleh Kementerian Sains dan Teknologi China, Malaysia adalah satu daripada 14 negara yang menyertai program berkenaan.

"Kerjasama kerajaan ke kerajaan China-Malaysia meliputi empat sektor iaitu kesihatan awam seperti penyelidikan dan pembangunan vaksin, kecerdasan buatan, teknologi maklumat dan komunikasi (rantai blok, data raya dan sebagainya) serta teknologi penderiaan jauh angkasa," katanya.

Menurut MYEG penyelidikan itu akan membabitkan cadangan kepada satu sistem yang berupaya mengelak penipuan dalam proses rantaian bekalan menggunakan teknologi blok rantai untuk perdagangan rentas sempadan.

"Sistem berkenaan mengandungi kerjasama kontrak pintar yang menyokong pelbagai pihak terlibat dalam perdagangan China-Malaysia termasuk negara-negara Inisiatif Jalur dan Laluan.

"Sistem ini akan membolehkan semua pihak berkepentingan untuk bekerjasama dalam pertukaran maklumat merentas organisasi, kesemuanya disokong oleh jejak audit yang selamat dan tidak boleh diubah," katanya.

Pengasas bersama Zetrix, Wong Thean Soon menyatakan keyakinan bahawa pengkomersialan rantai blok menerusi platform ini akan menawarkan banyak manfaat kepada Malaysia.

"Kerjasama strategik ini akan mengukuhkan lagi hubungan perdagangan dan pelaburan Malaysia-China termasuk melalui Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) sebagai penggerak utama dalam menyepadukan ekonomi serantau menggunakan teknologi Revolusi Perindustrian Keempat serta teknologi pengkomputeran awan dan analisis data raya," katanya.

Menurut syarikat, projek berkenaan akan mendorong pertukaran bakat di antara Malaysia dengan China seperti perkongsian pengetahuan dan kepakaran melalui lawatan sambil belajar serta pertukaran intelektual lain.

-- BERNAMA