Jumlah dagangan Malaysia meningkat kepada RM118.31 bilion pada Januari 2016 berbanding RM118.25 bilion yang direkodkan pada bulan yang sama tahun lepas, disokong oleh eksport barangan perkilangan.

Menurut Bernama, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dalam satu kenyataan berkata angka dagangan yang lebih tinggi itu membuktikan daya tahan Malaysia walaupun persekitaran ekonomi dunia yang mencabar.

Eksport barangan perkilangan bagi Januari 2016 meningkat sebanyak RM1.95 bilion kepada RM50.59 bilion, yang menyumbang sebanyak 81.8 peratus daripada jumlah eksport negara.

Peningkatan itu disokong sebahagian besarnya oleh eksport mesin, peralatan dan alat ganti yang lebih tinggi iaitu sebanyak RM588.7 juta, produk elektrik dan elektronik (meningkat RM566 juta), perkilangan logam (meningkat RM496 juta) selain perkakasan optikal dan saintifik (meningkat RM407.1 juta).

Dagangan yang lebih tinggi direkodkan dengan ASEAN, dengan pertumbuhan RM1.6 bilion, China (meningkat RM827.2 juta), Amerika Syarikat (meningkat RM727 juta), India (meningkat RM600 juta), Jerman (meningkat RM353.1 juta), Switzerland (meningkat RM350.8 juta) dan Turki (meningkat RM317.9 juta).

Lembaran imbangan dagangan yang positif sebanyak RM5.39 bilion dicatatkan pada Januari 2016 walaupun eksport secara keseluuhannya merosot 2.8 peratus kepada RM61.85 bilion manakala import meningkat 3.3 peratus kepada RM56.46 bilion.

Ini merupakan lebihan dagangan buat bulan ke-219 berturut-turut sejak November 1997.

Mengikut sektor, MITI berkata prestasi eksport pada Januari 2016 terjejas akibat penurunan eksport barangan perlombongan yang menyusut 40.9 peratus disebabkan eksport gas asli cecair dan petroleum mentah yang lebih rendah.

Namun ia ditambung oleh eksport yang lebih tinggi dalam barangan perkilangan dan pertanian, yang masing-masing meningkat 4.0 peratus dan 5.7 peratus.

Barangan pertanian menyumbang 8.5 peratus daripada jumlah eksport Malaysia pada Januari 2016 manakala barangan perlombongan menyumbang 9.1 peratus.