KUALA LUMPUR: Malaysia dijangka terus mencapai trajektori menaik dari segi aset cair yang dipegang pada separuh pertama 2024.

Ketua Peringkat Negara, Kekayaan dan Perbankan Peribadi HSBC Malaysia, Linda Yip berkata simpanan kekayaan dalam pesisir Malaysia adalah besar, sebanyak AS$359 bilion pada 2022 dan ia dijangka berkembang pada kadar pertumbuhan tahunan kompaun (CAGR) sebanyak 3.7 peratus dalam beberapa tahun akan datang.

Dari perspektif serantau, pertumbuhan dalam kekayaan swasta di Asia, perbelanjaan kukuh dalam kalangan kelas pertengahan, pecutan transformasi digital dan ekonomi hijau merupakan perangsang kepada pertumbuhan ekonomi walaupun terdapat cabaran dalam ekonomi global.

"Di peringkat tempatan, ekonomi Malaysia dijangka menyaksikan pertumbuhan pada tahun ini. Ini akan disokong oleh pengembangan dalam perbelanjaan penggunaan dan pelaburan, pasaran buruh yang menggalakkan, semuanya adalah kondusif untuk memanfaatkan peluang pelaburan," kata Yip.

Melihat kepada trend pelaburan dalam kalangan pelanggan HSBC Malaysia, Yip berkata pelanggan HSBC telah menyalurkan kekayaan mereka secara meluas ke dalam instrumen kewangan seperti unit amanah, pelaburan berstruktur dan bon.

"Terdapat minat yang meluas dalam pelaburan defensif seperti dana pasaran wang dan pelaburan yang dilindungi prinsipal. Kami berpendapat bahawa mempunyai portfolio pelbagai dalam ekuiti dan pendapatan tetap adalah jalan terbaik untuk memanfaatkan kitaran tetapan semula kadar faedah." katanya.

Dari segi prospek pelaburan pula, Perbankan Swasta Global HSBC menjangkakan pengurangan kadar Rizab Persekutan (Fed) Amerika Syarikat (AS) akan bermula pada Jun 2024 yang merupakan penurunan sederhana AS, pemulihan pendapatan korporat dan pertumbuhan Asia yang kukuh untuk menambah baik minat risiko global dan prospek pelaburan bagi pasaran ekuiti dan bon pada 2024.

Ketua Pegawai Pelaburan, Asia Tenggara dan India, Perbankan dan Kekayaan Persendirian Global HSBC, James Cheo berkata Malaysia harus memanfaatkan daripada tempoh awal pemulihan dalam kitaran elektronik global.

"Ekonomi Malaysia sepatutnya kekal kukuh pada tahun ini berikutan perbelanjaan pengguna dan pelaburan yang berdaya tahan.

Rangsangan positif bagi ekonomi Malaysia adalah daripada pemulihan kitaran elektronik global dan perjalanan pelancongan global yang dibuka semula.

"Kami menjangkakan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia berkembang sebanyak 4.5 peratus pada 2024, lebih cepat sedikit daripada pertumbuhan tahun lepas. Di pasaran ekuiti Malaysia pula, perolehan konsensus untuk Malaysia dijangka kukuh.

"Penilaian pasaran ekuiti didagangkan di bawah purata berbanding sebelumnya manakala sentimen risiko global dan kedudukan pelabur antarabangsa boleh menjadi halangan kepada pasaran. Ketika ini, kami mahu berhemat dan amat berhati-hati dengan strategi ekuiti Malaysia," kata Cheo.

Inflasi diunjurkan terus kekal terkawal di Malaysia pada 2024.

Bagaimanapun, mungkin terdapat kesan inflasi daripada kenaikan cukai perkhidmatan dan pengurangan dalam subsidi bahan api.

"Kami berpendapat Bank Negara Malaysia akan terus mengekalkan kadar dasar pada tiga peratus sepanjang tahun ini. Kami menjangkakan ringgit akan kekal stabil pada 4.55 berbanding dolar US menjelang akhir tahun 2024," katanya lagi.

-- BERNAMA