Henti dwistandard terhadap minyak sawit, kata Pengerusi MPOB

Mohamad Helmy berkata sikap negatif yang berterusan terhadap minyak sawit menyebabkan penurunan ketersediaan global berikutan negara pengeluar semakin menumpukan perhatian kepada permintaan domestik. -- fotoBERNAMA
KUALA LUMPUR: Hipokrasi yang mengelilingi dasar persekitaran global mesti dihentikan, kata Pengerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) Datuk Mohamad Helmy Othman Basha.
Ringkasan AI
- Pengerusi MPOB menyeru untuk menghentikan hipokrasi dalam dasar persekitaran global.
 - Kritikan diberikan terhadap dwistandard terhadap minyak sawit yang mengganggu ketersediaan global.
 - Negara pengeluar minyak sawit seperti Indonesia dan Malaysia menghadapi peningkatan permintaan domestik yang menjejaskan eksport.
 
"Apabila penggunaan bahan api fosil sering dimaafkan atas nama 'keterjaminan tenaga', minyak sawit lestari pula diharamkan atas nama 'penyahhutanan'.
Disebabkan oleh dwistandard ini yang tidak mampu dilawan oleh negara-negara membangun, satu cabaran baharu muncul yang menjejaskan ketersediaan global itu sendiri," katanya ketika berucap pada Rundingan Meja Bulat Minyak Sawit Lestari (RSPO) 2025 di sini semalam.
Mohamad Helmy yang juga Pengarah Urusan Kumpulan SD Guthrie Bhd berkata sikap negatif yang berterusan terhadap minyak sawit menyebabkan penurunan ketersediaan global berikutan negara pengeluar seperti Indonesia semakin menumpukan perhatian kepada permintaan domestik.
"Indonesia sudah menjalankan biodiesel B40 dengan B50 di hadapan selain B60 dalam perbincangan manakala Malaysia sedang bergerak ke arah B30. Setiap peningkatan dalam percampuran bermakna lebih banyak minyak sawit digunakan secara domestik untuk tenaga dan kurang tersedia untuk eksport.
"Sementara dunia Barat berdebat sama ada untuk 'menghapuskan' minyak sawit, namun dua pengeluar terbesar sedang mencampurkannya untuk bahan api. Dunia semakin kehilangan akses kepada minyak sayuran yang paling cekap, paling produktif dan paling lestari yang pernah dihasilkan," katanya.
Helmy berkata setiap kerajaan bertindak mengikut kepentingan nasional masing-masing manakala negara membangun seperti Indonesia dan Malaysia mempunyai hak untuk melakukan perkara yang sama.
"Jika dunia terus menolak minyak sawit dengan pemikiran yang sempit, sehala dan kolonial, dunia akan membayar harga tersebut iaitu dalam keterjaminan makanan, kemampuan, bahkan dalam mencapai sasaran iklim," katanya.
Memetik data daripada World Resources Institute dan Global Forest Watch, beliau berkata Malaysia dan Indonesia mencapai kemajuan ketara dalam mengurangkan penyahhutanan dengan Malaysia mencatatkan penurunan lebih daripada 60 peratus sejak kemuncaknya.
Dalam pada itu, katanya Indonesia secara konsisten mencapai kadar terendah dalam rekod manakala kedua-dua negara mengekalkan lebih 50 peratus litupan hutan iaitu angka yang lebih tinggi daripada kebanyakan negara maju.
Beliau turut mengkritik Peraturan Penyahhutanan Kesatuan Eropah (EUDR) dengan menyifatkan penarafan "risiko standard" Malaysia tidak berasas meskipun rekod yang kukuh.
Jelasnya ia menggambarkan pelaksanaan piawaian yang lebih ketat ke atas negara membangun sebagai satu bentuk "aparteid ekonomi" yang gagal mempertimbangkan penggunaan tanah dan penyahhutanan seiring keperluan ekonomi.
"Satu-satunya penyelesaian yang adil dan beretika untuk negara-negara miskin iaitu membenarkan penggunaan sumber daya semula jadi mereka.
"Dan ini mungkin tidak popular, tetapi dengar dahulu, mereka sepatutnya dibenarkan untuk kehilangan sebahagian daripada hutan bagi merangsang aktiviti ekonomi untuk rakyat sendiri," tambahnya.
-- BERNAMA
Fakta Segera: Jawapan Pantas Dari AI
- Q: Apakah yang dimaksudkan dengan dwistandard terhadap minyak sawit dalam konteks artikel ini? A: Dwistandard merujuk kepada perlakuan yang tidak konsisten terhadap minyak sawit, di mana amalan ini menyebabkan ketidakstabilan dalam ketersediaan global.
 - Q: Apakah kesan negatif yang dialami oleh negara pengeluar minyak sawit akibat penumpuan kepada permintaan domestik? A: Negara pengeluar seperti Indonesia dan Malaysia menghadapi penurunan sumber minyak sawit yang tersedia untuk eksport kerana menumpukan perhatian kepada permintaan domestik, mengancam ketersediaan global.
 - Q: Mengapakah Pengerusi MPOB mengkritik Peraturan Penyahhutanan Kesatuan Eropah (EUDR)? A: Pengerusi MPOB menyifatkan penarafan "risiko standard" EUDR sebagai tidak berasas dan mencadangkan pembenaran penggunaan sumber daya semula jadi bagi negara-negara miskin untuk merangsang ekonomi mereka sendiri.
 

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami

