Walaupun menghadapi pelbagai cabaran luaran dan domestik, Malaysia telah mengekalkan kedudukannya antara 25 negara paling kompetitif, iaitu di tempat ke-24 daripada 63 negara dalam Buku Tahunan Daya Saing Dunia (WCY) 2017 oleh Institut Pembangunan Pengurusan yang berpangkalan di Switzerland.

Walaupun merosot daripada tempat ke-19 daripada 61 negara tahun lepas, negara ini telah menambah skor kepada 83.53 daripada 83.05 yang dicatat tahun lalu.

Menurut laporan berkenaan yang dikeluarkan Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC), 25 negara teratas itu ialah:

RANKING

SKOR

--------------

-------------

1) Hong Kong

(100.00)

2) Switzerland

(99.66)

3) Singapura

(99.49)

4) Amerika Syarikat

(98.66)

5) Belanda

(96.55)

6) Ireland

(95.79)

7) Denmark

(95.56)

8) Luxembourg

(95.06)

9) Sweden

(94.96)

10) UAE

(94.08)

11) Norway

(93.07)

12) Kanada

(92.25)

13) Jerman

(91.59)

14) Taiwan

(90.48)

15) Finland

(88.89)

16) New Zealand

(88.67)

17) Qatar

(88.10)

18) China

(87.76)

19) United Kingdom

(86.78)

20) Iceland

(86.40)

21) Australia

(85.25)

22) Israel

(85.10)

23) Belgium

(83.91)

24) Malaysia

(83.53)

25) Austria

(83.33)

Menurut laporan yang dikeluarkan hari ini, daya saing Malaysia terjejas teruk oleh dinamik dan persekitaran luaran yang mencabar pada 2016 seperti ketidaktentuan dasar kewangan Amerika Syarikat, turun naik mendadak dalam harga komoditi global serta trajektori tidak menentu pertumbuhan global.

"Bagaimanapun, daya tahan ekonomi dan kewangan Malaysia telah memberikan sokongan untuk bertahan daripada kejutan luaran dan mencegah Malaysia daripada mengalami kejatuhan prestasi yang lebih besar," kata laporan tersebut.

Ketua Pengarah MPC, Datuk Mohd Razali Hussain berkata, antara 32 negara dengan keluaran dalam negara kasar per kapita kurang daripada US$20,000, Malaysia jatuh satu tangga ke tempat kedua, diambil alih China yang menyaksikan perkembangan baik dalam ekonominya manakala dalam kategori penduduk lebih 20 juta, Malaysia berada di tempat kelapan dalam kalangan 20 negara (2016:ke-7).

Di rantau Asia Pasifik, Malaysia di kedudukan ke-6 pada 2017 berbanding ke-7 tahun lepas, mendahului Jepun pada tempat ke-8, Thailand (ke-9) dan Korea Selatan (ke-10); dan kekal di tempat kedua di rantau ASEAN selepas Singapura.

WCY menyediakan penilaian daya saing sesebuah negara yang paling objektif dalam dunia global hari ini berdasarkan empat faktor, iaitu Prestasi Ekonomi, Kecekapan Kerajaan, Kecekapan Perniagaan dan Infrastruktur, di mana dalam laporan 2017, Malaysia masing-masing berada di tempat ke-13, ke-25, ke-19 dan ke-32 berbanding tempat ke-11, ke-18, ke-14 dan ke-31 pada tahun sebelumnya.

Mohd Razali berkata, kerajaan bertekad untuk mempercepat pelaksanaan pelbagai inisiatif bagi memastikan daya saing Malaysia dikekalkan.

Menurutnya, bagi mengekalkan momentum ke arah meningkatkan prestasi Malaysia, proses intensif melibatkan pelbagai agensi kerajaan melalui kumpulan kerja kelompok serta penggiat industri adalah penting.

"Perkara yang berlaku di sekeliling kita ketika ini dari segi penambahbaikan persekitaran luaran dan keputusan suku pertama 5.6 peratus, telah menawarkan momentum yang baik dan keyakinan kepada komuniti perniagaan.

"Kita yakin dalam laporan akan datang kita akan menyaksikan peningkatan dari segi ranking kita," tambah beliau.

Beliau berkata, daya saing negara bergantung kepada produktiviti sederhana hingga panjang serta prospek pertumbuhan ekonomi negara, manakala penanda aras dan amalan terbaik dari negara lain adalah penting untuk Malaysia mengenal pasti jurang dan mengambil langkah meningkatkan prestasinya.

-- BERNAMA