KUALA LUMPUR: Malaysia kekal dengan pendirian sebagai negara neutral dan berkecuali dalam mendepani ketidaktentuan geopolitik global dan tarif timbal balas yang dikenakan oleh Amerika Syarikat (AS), kata Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Sim Tze Tzin.
Beliau berkata pendirian Malaysia yang juga sebagai 'friends-to-everyone' telah mendorong prestasi perdagangan negara kekal stabil pada 2025.
Advertisement
Katanya negara mencatatkan pencapaian perdagangan yang membanggakan buat kali pertama pada tahun lepas apabila melepasi paras RM3 trilion iaitu, mencecah RM3.06 trilion dan meningkat 6.2 peratus berbanding 2024.
“Pencapaian ini direkodkan walaupun ekonomi global berdepan ketidaktentuan dasar perdagangan dan ketegangan geopolitik serta cabaran rantaian bekalan antarabangsa.
“Pertumbuhan ini disokong oleh peningkatan kukuh dalam eksport dan import. Malaysia terus mengekalkan momentum perdagangan yang kukuh dengan China dengan jumlah perdagangan mencecah RM541.45 bilion, meningkat 11.8 peratus berbanding tahun sebelumnya,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.
Beliau menjawab soalan Senator Wan Martina Wan Yusoff mengenai langkah Malaysia untuk mengimbangi tekanan geopolitik daripada kuasa besar tanpa menjejaskan akses pasaran eksport.
Sim berkata China kekal sebagai rakan dagangan terbesar Malaysia selama 17 tahun berturut-turut sejak 2009.
Katanya perdagangan Malaysia dengan AS turut meningkat sebanyak 12.3 peratus kepada RM365.07 bilion, menjadikan negara tersebut sebagai rakan dagangan ketiga terbesar Malaysia sejak 2015.
Beliau berkata kementerian juga telah merangka beberapa strategi bagi memastikan daya tahan ekonomi fiskal negara kekal kukuh dan strategi promosi eksport lebih bersasar dan terus berdaya tahan supaya eksport negara kekal mampan dan berdaya saing pada 2026.
Katanya Malaysia akan terus memperluas pasaran terutamanya ke rantau Asia Barat, Afrika dan Amerika Selatan.
“Pada 2025, peningkatan eksport yang ketara direkodkan di beberapa pasaran baharu termasuk Kyrgyzstan, Yaman, Tanzania, Kazakhstan, Uzbekistan, Algeria dan Kenya.
“Selain itu, memanfaatkan perjanjian perdagangan bebas (FTA) apabila pasaran FTA menyumbang 66.4 peratus kepada jumlah eksport negara pada 2025 dengan perdagangan melepasi RM2 trilion,” katanya.
Katanya program promosi eksport akan terus diperhebatkan dengan fokus kepada sektor pertumbuhan dan bernilai tinggi seperti elektrik dan elektronik (E&E), aeroangkasa, automotif, farmaseutikal, halal, perkhidmatan dan industri kreatif selaras dengan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030.
“Seterusnya ialah digital eksport. Penyertaan dalam platform e-dagang rentas sempadan seperti Alibaba, Amazon dan eBay turut digalakkan melalui program e-Trade bagi mempercepat penerokaan pasaran baharu.
“Platform MADANI Digital Trade (MDT) akan diperkukuh untuk memperluas capaian pasaran global syarikat Malaysia. Sehingga Disember 2025, lebih 4,500 pengeksport telah mendaftar,” katanya.
-- BERNAMA