KUALA LUMPUR: Malaysia mengekalkan kedudukannya sebagai pengeksport gas asli cecair (LNG) kelima terbesar pada 2022 selepas Australia, Amerika Syarikat, Qatar dan Rusia.

Menurut laporan tahunan ke-14 World LNG Report 2023 yang dikeluarkan oleh Kesatuan Gas Antarabangsa (IGU) pada 12 Julai, eksport LNG dari Malaysia pada 2022 berjumlah 27.3 juta tan (MT), meningkat daripada 24.9 MT pada 2021, yang merupakan kira-kira tujuh peratus daripada jumlah LNG didagangkan secara global.

Laporan itu berkata Asia Pasifik kekal sebagai pasaran terbesar untuk LNG, mengeksport sejumlah 136.6 MT pada 2022 dan mengimport 160.9 MT, di mana kebanyakan LNG didagangkan di rantau sama pada 97.9 MT.

Presiden IGU, Li Yalan berkata dunia melihat nilai tinggi LNG sebagai sumber optimum tenaga yang fleksibel, boleh dipercayai dan cekap.

"Tenaga fleksibel diperlukan untuk dunia meneruskan perjalanan dalam peralihan tenaga dengan selamat," katanya dalam laporan tersebut.

Sementara itu, Presiden Persatuan Gas Malaysia (MGA), Abdul Aziz Othman dalam satu kenyataan berkata LNG ialah sejenis gas asli cecair yang membolehkan bahan api itu dihantar secara pukal pada jarak yang jauh.

Bagi memastikan bekalan yang mencukupi dan tidak terganggu kepada pengguna di Semenanjung Malaysia, beliau berkata LNG dibawa masuk untuk menambah bekalan daripada gas asli luar pesisir.

"Pada masa lalu, gas asli telah memastikan keselamatan tenaga dan memacu pembangunan ekonomi dan kami menjangkakan gas asli kekal sebagai bahan api teras dalam dekad akan datang.

"Seperti yang disebut oleh perdana menteri semasa perasmian Energy Asia awal bulan Jun, Malaysia akan terus melihat gas asli memainkan peranan penting dalam campuran tenaga untuk beralih ke arah ekonomi karbon yang lebih rendah," kata Abdul Aziz.

-- BERNAMA