Malaysia miliki asas kukuh, berdaya saing sebagai hab MRO perkapalan utama ASEAN - MITI

Industri pembinaan dan pembaikan kapal (SBSR) ada potensi besar dalam ekonomi maritim negara, khususnya dalam aspek MRO kapal. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Malaysia berada di kedudukan strategik selain mempunyai asas kukuh dan berdaya saing untuk muncul sebagai hab pembaikan, baik pulih dan penyelenggaraan (MRO) perkapalan utama di rantau ASEAN.
Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) berkata, ini turut didorong oleh sokongan dasar perindustrian yang jelas, insentif pelaburan kompetitif, infrastruktur dan sistem pelabuhan cekap, rantaian bekalan tempatan yang semakin matang serta sokongan berterusan daripada kerajaan akan terus memastikan industri MRO perkapalan berkembang.
Keadaan itu, katanya, mampu menarik pelaburan berkualiti tinggi, menjana peluang pekerjaan berkemahiran tinggi dan memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab maritim serantau yang berdaya saing dan mampan.
"Kerajaan menyedari sepenuhnya potensi besar industri pembinaan dan pembaikan kapal (SBSR), khususnya dalam aspek MRO kapal sebagai pemacu utama pembangunan ekonomi maritim negara.
"Kedudukan strategik Malaysia di Selat Melaka dan Selat Singapura antara laluan perdagangan tersibuk di dunia, memberi permintaan semula jadi yang tinggi terhadap perkhidmatan MRO perkapalan," kata kementerian itu menerusi jawapan bertulis di laman sesawang rasmi Parlimen pada Selasa.
MITI menjawab pertanyaan Datuk Seri Amirudin Shari (PH-Gombak) mengenai strategi kerajaan untuk meningkatkan kapasiti industri perkapalan, terutama MRO serta peluang yang telah dinilai bagi meletakkan Malaysia sebagai negara utama MRO perkapalan di ASEAN.
Malaysia juga, kata kementerian itu, turut menawarkan kos operasi kompetitif, ruang limbungan lebih luas serta insentif kerajaan yang disasarkan bagi meningkatkan keupayaan teknologi MRO, sekali gus menjadikannya alternatif menarik di rantau ini.
"Perkembangan pasaran perkhidmatan pembaikan dan penyelenggaraan kapal yang sejajar dengan pertumbuhan perdagangan maritim global turut memberi peluang kepada limbungan tempatan memperkukuh capaian dan perkhidmatan khusus bagi kapal dagang, tangki, kontena dan kapal sokongan luar pesisir," kata MITI.
Pada masa ini, Malaysia mempunyai sebanyak 110 limbungan berdaftar, termasuk 38 di Semenanjung dan 72 di Sabah dan Sarawak serta sekurang- kurangnya 40 pengeluar peralatan marin tempatan yang menunjukkan asas infrastruktur meluas untuk menyokong rantaian MRO domestik dan serantau.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


