Skip to main content

Malaysia

Bekalan yang pelbagai lindungi Malaysia daripada gangguan minyak serta-merta - MPRC

KUALA LUMPUR, 6 Jun -- Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Petroleum Resources Corporation (MPRC) Mohd Yazid Jaafar berucap pada Majlis Pelancaran Banci Perkhidmatan dan Peralatan Minyak dan Gas 2024 hari ini.
Mohd Yazid berkata Malaysia kekal berdaya tahan dari segi operasi dan bekalan domestik, disokong oleh Petronas, pengurusan stok negara serta kemudahan sedia ada di PIPC dan lokasi lain. - Gambar Bernama

KUALA LUMPUR: Bekalan minyak Malaysia kekal stabil, disokong oleh penyumberan minyak mentah dan produk yang pelbagai, serta infrastruktur penyimpanan laut dalam dan terminal di Kompleks Petroleum Bersepadu Pengerang (PIPC).

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Petroleum Resources Corporation (MPRC) Mohd Yazid Jaafar berkata Malaysia kekal berdaya tahan dari segi operasi dan bekalan domestik, disokong oleh Petroliam Nasional Bhd (Petronas), pengurusan stok negara serta kemudahan sedia ada di PIPC dan lokasi lain.

Advertisement

MPRC ialah agensi Kementerian Ekonomi yang diberi mandat untuk membangunkan dan mempromosikan sektor perkhidmatan serta peralatan minyak dan gas Malaysia, termasuk memperkukuh keupayaan industri, menarik pelaburan dan menyokong pengantarabangsaan penyedia perkhidmatan tenaga Malaysia.

Mekanisme di peringkat dasar juga boleh diaktifkan sekiranya keadaan memerlukan, katanya kepada Bernama.

Bagaimanapun, Mohd Yazid berkata walaupun rizab minyak Malaysia bukan satu perkara yang membimbangkan namun negara ini seperti kebanyakan ekonomi lain tidak sepenuhnya terlindung daripada pergerakan harga minyak mentah global.

Ini kerana Malaysia masih mengimport sebahagian besar minyak mentah dan produk petroleum bertapis, katanya.

“Kita terdedah kepada pergerakan harga minyak global walaupun kita menghasilkan dan mengeksport minyak mentah gred lebih tinggi.

“Secara amalannya, ini bermakna ketersediaan fizikal di dalam negara kekal stabil, manakala harga di pam dan perbelanjaan subsidi dipengaruhi oleh penanda aras antarabangsa,” katanya.

Sektor penapisan Malaysia lazimnya mengimport minyak mentah gred lebih berat yang sesuai untuk pemprosesan domestik, di samping mengeksport minyak mentah ringan dan rendah sulfur yang dihasilkan di luar pesisir, yang sebahagiannya menjelaskan keperluan berterusan untuk mengimport walaupun negara ini merupakan pengeluar minyak.

Isu ini kembali menjadi perhatian susulan kebimbangan terhadap bekalan minyak global selepas Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA) menganjurkan mesyuarat menteri tenaga Kumpulan Tujuh (G7) awal minggu ini.

IEA bersetuju melepaskan rizab minyak kecemasan susulan gangguan pengeluaran dan eksport berkaitan konflik di Asia Barat terus memberi tekanan kepada pasaran global.

Penghantaran melalui Selat Hormuz turut terganggu, memaksa sebahagian pengeluar di rantau itu mengurangkan pengeluaran.

Kira-kira 20 peratus daripada bekalan harian minyak dunia dan sekitar 20 peratus daripada penghantaran gas asli cecair (LNG) global melalui laluan sempit itu, menjadikannya antara titik laluan paling utama dalam perdagangan tenaga global.

Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia, pengeluaran minyak mentah dan kondensat Malaysia meningkat 1.1 peratus kepada 183.6 juta tong pada 2025.

Berdasarkan suku tahunan, pengeluaran minyak mentah dan kondensat meningkat 4.5 peratus tahun ke tahun pada suku keempat 2025, berbanding pertumbuhan 7.9 peratus yang dicatatkan pada suku ketiga.

Jumlah pengeluaran mencecah 47.8 juta tong pada suku keempat 2025, meningkat daripada 45.1 juta tong pada suku ketiga.

Nilai eksport petroleum mentah dan kondensat meningkat kepada RM6.1 bilion pada suku keempat 2025 daripada RM5.3 bilion pada suku sebelumnya.

Pada masa sama, eksport LNG meningkat kepada RM13.6 bilion dalam suku yang sama daripada RM12.2 bilion sebelumnya.

Import petroleum mentah dan kondensat turun kepada RM11.5 bilion pada suku keempat 2025 daripada RM16.0 bilion yang dicatatkan pada suku ketiga 2025.

Berdasarkan data rizab dan pengeluaran global, Malaysia mempunyai rizab minyak terbukti sebanyak 2.7 bilion tong setakat 2023, menjadikannya pemilik rizab minyak kedua terbesar di Asia Tenggara.

Walaupun rizab berkurangan sejak 2022, namun sebanyak 19 penemuan baharu direkodkan pada 2023 yang berpotensi menambah lebih satu bilion tong setara minyak.

Daripada jumlah itu, 16 penemuan terletak di Sarawak manakala tiga lagi di Sabah.

Mengulas langkah IEA itu, Mohd Yazid berkata keputusan agensi tersebut untuk melepaskan rizab minyak boleh membantu meredakan kekangan bekalan segera di pasaran global.

“Namun, situasi geopolitik akan terus memberi tekanan kepada persekitaran bekalan. Aliran maritim melalui Selat Hormuz serta sebarang gangguan lanjut terhadap loji penapisan dan logistik di rantau Asia Barat masih menjadi faktor utama yang perlu diperhatikan.

“Pelepasan stok memberi sedikit masa dan mengurangkan kejutan, tetapi kelegaan mengenai harga yang berkekalan akhirnya bergantung kepada keselamatan aliran bekalan fizikal yang kembali pulih.

“Ini mungkin mengambil masa walaupun selepas situasi stabil kerana rantaian bekalan memerlukan masa untuk kembali normal,” katanya.

Mohd Yazid berkata Malaysia bukan anggota IEA, oleh yang demikian negara ini tidak terikat untuk menyertai tindakan pelepasan stok secara kolektif.

“Sebaliknya, sebagai negara rakan, Malaysia bekerjasama dengan IEA dalam aspek dasar tenaga dan keterjaminan tenaga,” katanya.

-- BERNAMA

Must Watch Video