SUNGAI BULOH: Sebanyak 16,500 bakul makanan akan diagihkan ke seluruh negara sebagai langkah intervensi awal bagi membantu golongan terkesan dengan 'badai' ekonomi semasa.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R Ramanan berkata, program berkenaan merupakan antara inisiatif berskala besar terbesar pernah dilaksanakan kementerian itu setakat ini.
Advertisement
Menurut beliau, pengagihan bakul makanan itu dijangka memberi manfaat kepada hampir 100,000 individu dalam kalangan masyarakat B40 di seluruh negara.
Katanya, 16,500 bakul makanan akan dihantar ke seluruh negara menggunakan beberapa lori bagi memastikan bantuan sampai ke pusat agihan yang ditetapkan di setiap negeri.
"Ini bukan program skala kecil, ini skala besar. Saya rasa antara yang terbesar pernah dilakukan. Ia membabitkan hampir 17,000 bakul makanan yang akan dihantar ke seluruh negara.
"Tadi kita lihat tujuh lori besar akan membawa bakul-bakul makanan ini untuk dihantar ke pusat yang disediakan di negeri masing-masing," katanya.
Beliau berkata demikian selepas melancarkan Majlis Pelepasan Sumbangan Bakul Makanan Ziarah Madani sempena Aidilfitri, di sini pada Sabtu.
Ramanan yang juga Ahli Parlimen Sungai Buloh itu berkata, agihan bantuan itu akan dilaksanakan melalui pemimpin komuniti setempat yang lebih memahami keperluan penduduk di kawasan masing-masing.
Katanya, bantuan akan diserahkan kepada ketua kampung, ahli majlis dan ketua komuniti supaya mereka dapat mengenal pasti keluarga B40 yang benar-benar memerlukan.
"Sebagai contoh di Sungai Buloh, kita serahkan kepada ketua kampung, ahli majlis dan ketua komuniti kerana mereka yang lebih mengetahui lokasi serta keluarga B40 di kawasan masing-masing," tambahnya.
Program berkenaan diterajui bersama beberapa agensi di bawah kementerian iaitu Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Human Resource Development Corporation (HRD Corp), Talent Corporation Malaysia (TalentCorp), Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) serta National Institute of Occupational Safety and Health (NIOSH).
Mengulas lanjut, Ramanan turut menegaskan keputusan kerajaan untuk tidak menganjurkan rumah terbuka sempena Aidilfitri tahun ini merupakan langkah wajar bagi mengamalkan penjimatan perbelanjaan.
Beliau berkata, pendekatan itu selaras dengan usaha kerajaan menumpukan sumber kepada program yang memberi manfaat secara langsung kepada rakyat, khususnya golongan yang memerlukan.
"Kena faham kenapa kita buat sebab kita sedang mengalami perang di Asia Barat, keadaan ekonomi kita sekarang bagus tapi kita tidak boleh sia-siakannya," jelasnya.