KUALA LUMPUR: Malaysia disenaraikan sebagai negara kedua yang kondusif bagi pelaburan asing di Asia Tenggara oleh syarikat Eropah dan Amerika Syarikat (AS), demikian menurut kajian Standard Chartered.

Kumpulan perbankan itu berkata kedudukan itu adalah berdasarkan peluang syarikat-syarikat itu untuk menubuhkan atau mengembangkan sumber, penjualan atau operasi dalam masa enam hingga 12 bulan.

Kajian Perniagaan Tanpa Sempadan itu yang dijalankan pada November dan Disember tahun lepas, disertai lebih 1,000 ketua pegawai kewangan (CFO) dan profesional perbendaharaan kanan syarikat yang meraih perolehan melebihi US$500 juta di AS, United Kingdom, Jerman dan Perancis.

Kajian itu mendapati Asia kekal sebagai rantau pertumbuhan utama dengan lebih 85 peratus responden beroperasi dan melaksanakannya di Asia atau mempertimbangkan untuk aktiviti perniagaan.

Standard Chartered dalam satu kenyataan hari ini berkata, Afrika dan Timur Tengah menyaksikan sedikit peningkatan sehingga empat peratus sebagai pasaran pertumbuhan yang berpotensi dalam tempoh enam hingga 12 bulan akan datang.

"Dengan pengawalseliaan yang dinyatakan sebagai kebimbangan pertama dalam kalangan responden yang berhasrat mengembangkan sayap ke luar negara, ia boleh memberi peluang kepada Malaysia untuk berpotensi meningkatkan pelaburan asing melalui kesedaran yang lebih baik mengenai mudahnya menjalankan perniagaan di sini," menurut bank itu.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Standard Chartered Malaysia Abrar A. Anwar yang menyifatkan Malaysia sebagai pasaran pertumbuhan penting bagi kumpulan perbankan itu berkata, kumpulan berkenaan akan terus melabur dalam teknologi di sini untuk membantu pelanggan perbankan runcit, komersial dan institusi mereka agar berjaya dan berkembang.

"Ini meningkatkan keyakinan di negara ini berserta kehadiran kukuh Standard Chartered di Asia, Afrika dan Timur Tengah, berada di nadi laluan perdagangan global, bersedia menghubungkan dunia kepada Malaysia dan Malaysia kepada dunia.

"Kelestarian, pendigitalan dan keperluan untuk memahami peraturan bukan hanya menjadi kunci bagaimana perniagaan akan dijalankan, terdapat juga peluang untuk syarikat meningkatkan kecekapan operasi, berkembang di peringkat antarabangsa dan terus bergerak ke hadapan dalam persaingan," katanya.

CFO dan profesional perbendaharaan kanan yang mengambil bahagian dalam kajian itu menyifatkan, walaupun ketidaktentuan yang dicetuskan pandemik global dan kesan ekonomi yang berkaitan, pasaran luar negara masih menjadi kunci kepada pertumbuhan.

Kajian itu turut mendedahkan penekanan tambahan untuk melabur dalam teknologi digital, mengeluarkan wang yang dikenakan sekatan dan meningkatkan tumpuan terhadap isu-isu alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) berkaitan perdagangan dan rantaian bekalan.

Syarikat yang berhasrat mengembangkan atau memperkukuhkan operasi antarabangsa mereka berkata, memahami syarat peraturan di pasaran luar negara kekal menjadi cabaran terbesar (35 peratus), diikuti keperluan untuk menjalinkan hubungan dengan pembekal dan menyesuaikan kepada logistik rantaian bekalan (21 peratus).

Bagi syarikat-syarikat yang melihat masa depan bagi keadaan selepas pandemik, tiga keutamaan responden menunjukkan sedikit perubahan daripada isu ini termasuk kegagalan rantaian bekalan (50 peratus) dan keperluan mudah tunai (47 peratus) untuk meningkatkan pelaburan dalam pendigitalan bagi menggerakkan mudah tunai (66 peratus) dan ESG (23 peratus).

-- BERNAMA