Skip to main content

Bisnes

Malaysia perlu ambil peluang daripada krisis Asia Barat, nilai semula model ekonomi - Fernandes

SEPANG, April 6 -- Co‑Founder & Advisor of AirAsia X, Tan Sri Tony Fernandes, speaks at the AirAsia X media briefing at AirAsia RedQ today.  --fotoBERNAMA (2026) COPYRIGHT RESERVED
Fernandes berkata syarikat penerbangan berdepan tekanan kos yang ketara selepas harga bahan api jet meningkat mendadak daripada kira-kira US$85 setong kepada antara US$180 dan US$240. - Gambar fail/Bernama

PUTRAJAYA: Malaysia perlu menjadikan krisis Asia Barat yang sedang berlaku sebagai peluang untuk menilai semula model ekonominya dan meningkatkan pertumbuhan jangka panjang, kata Ketua Pegawai Eksekutif Capital A Bhd Tan Sri Tony Fernandes.

Menurutnya gangguan bekalan global terutama melibatkan laluan penting seperti Selat Hormuz boleh memberi kesan ekonomi yang berpanjangan kepada negara sekali gus menekankan keperluan untuk Malaysia kekal berdaya tahan.

Advertisement

“Malaysia telah memperlihatkan prestasi yang baik dari segi diplomasi, tetapi krisis ini adalah peluang untuk menilai semula model ekonomi kita, daripada subsidi kepada tenaga kepada produktiviti,” katanya pada forum “Kedudukan Strategik Malaysia dalam Ekonomi Global yang Bergelora” di sini hari ini.

Fernandes berkata bagi mencapai dan mengekalkan pertumbuhan, Malaysia perlu membuat keputusan sukar terutama mengenai penilaian semula subsidi.

“Kita perlu beralih daripada mentaliti subsidi ini. Berbilion ringgit yang dibelanjakan untuk subsidi boleh dialihkan kepada industri yang lebih produktif, industri yang mewujudkan peluang pekerjaan, memacu pertumbuhan dan memperkukuh ekonomi,” katanya.

Menurutnya situasi semasa membuka peluang untuk mengkaji semula tahap keselamatan tenaga.

“Saya sangat menyokong penggunaan tenaga nuklear; kebimbangan mengenai keselamatan nuklear itu tidak lagi relevan memandangan teknologi seperti reaktor modular kecil adalah jauh lebih selamat, dan Malaysia perlu menyasarkan kebebasan tenaga,” katanya.

Mengenai sektor penerbangan, Fernandes berkata krisis semasa, yang didorong oleh lonjakan harga tenaga dan gangguan bekalan adalah lebih buruk daripada pandemik COVID-19.

“Semasa COVID-19, semua pihak sedia maklum bahawa penerbangan tidak dapat dilakukan. Pada masa ini, penerbangan masih beroperasi seperti biasa, dan semua pihak mahukan bayaran dibuat tepat pada masanya, sedangkan harga minyak telah berganda dalam tempoh yang singkat,” katanya.

Fernandes berkata syarikat penerbangan berdepan tekanan kos yang ketara selepas harga bahan api jet meningkat mendadak daripada kira-kira US$85 setong kepada antara US$180 dan US$240.

“Kami menjual tiket sebelum Hari Raya berdasarkan harga bahan api jet US$85, namun selepas itu harga bahan api melonjak mendadak kepada US$180 dan mencecah sehingga US$240. Sepanjang pengalaman saya, kami tidak pernah melihat keadaan seperti ini,” katanya.

Fernandes berkata margin penapisan turut melonjak daripada kira-kira US$20 kepada US$120 dalam tempoh seminggu, menjejaskan lagi impak terhadap syarikat penerbangan.

“Saya telah berbincang dengan kerajaan mengenai lanjutan kredit supaya kami dapat melakukan penyesuaian kerana sudah tentu kami perlu menaikkan tambang, tetapi langkah itu mengambil masa untuk mencerminkan kos minyak yang telah kami bayar,” katanya.

-- BERNAMA

Must Watch Video