Skip to main content

Malaysia

Kes denggi di Putrajaya turun 36.2 peratus, teknologi Wolbachia beri impak kawalan wabak

61710238310_denggi.jpg
Data di Putrajaya membuktikan bahawa inovasi seperti teknologi Wolbachia mampu mempercepat  pengawalan denggi dan melindungi komuniti dengan lebih berkesan. - Gambar hiasan

PUTRAJAYA: Kes demam denggi di Putrajaya mencatatkan penurunan sebanyak 36.2 peratus bagi tempoh Januari hingga April 2026 berbanding tempoh sama tahun lepas.

Pelaksanaan teknologi Wolbachia dikenal pasti antara faktor utama yang mampu memberikan hasil lebih pantas dan berkesan dalam menangani wabak bandar.

Advertisement

Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj) Datuk Mohd Sakeri Abdul Kadir berkata penurunan itu membuktikan pendekatan konvensional semata-mata, tidak lagi mencukupi dalam menghadapi cabaran denggi di kawasan bandar yang padat.

"Data di Putrajaya membuktikan bahawa inovasi seperti teknologi Wolbachia mampu mempercepat  pengawalan denggi dan melindungi komuniti dengan lebih berkesan.

“Pada masa yang sama, usaha ini adalah sebahagian daripada komitmen berterusan untuk menjadikan Putrajaya sebuah bandar yang lebih selamat dan kondusif,supaya kanak-kanak dapat bermain di kawasan perumahan tanpa rasa bimbang terhadap risiko kesihatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Berkongsi data terkini, Mohd Sakeri berkata hingga April 2026, pelaksanaan teknologi itu di Putrajaya dilaksanakan secara berperingkat di lokaliti berisiko tinggi, iaitu di Presint 14.

Sebanyak 588,800 nyamuk dewasa dilepaskan melalui beberapa siri pelepasan sejak 2020, dan kini berada dalam fasa penyelenggaraan termasuk suntikan tambahan.

"Di Presint 18 pula, 554,400 nyamuk dewasa telah dilepaskan sejak Okt 2025 dengan kawasan ini kini berada dalam fasa sustain, menandakan proses penstabilan populasi Wolbachia sedang berlangsung," katanya.

Beliau berkata Jabatan Wilayah Persekutuan sedang mengkaji keberkesanan dengan agihan bajet sedia ada, termasuk program gotong-royong serta meneliti peluasan teknologi berkenaan ke kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam (PA), yang mencatatkan kadar kes denggi yang tinggi.

-- BERNAMA

Must Watch Video