KUALA LUMPUR: Malaysia perlu terus memberi tumpuan kepada asas kukuhnya dan melaksanakan pembaharuan fiskal untuk memastikan ekonomi yang berdaya saing dan menyokong ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) yang melonjak, menurut Bank Dunia.

Ahli ekonomi utama Kumpulan Bank Dunia bagi Malaysia Dr Apurva Sanghi berkata, meskipun penyusutan ringgit berbanding dolar AS adalah punca kebimbangan, ia bukan isu domestik, sebaliknya merupakan isu antarabangsa.

Beliau berkata kenaikan mata wang AS sebahagian besarnya disebabkan oleh peningkatan mendadak kadar faedah oleh Rizab Persekutuan AS (Fed) dan ia bukan sahaja menjejaskan Malaysia, malah, negara-negara lain.

"Pada asasnya pengukuhan ringgit akan bergantung kepada prestasi ekonomi Malaysia, selagi Malaysia berupaya mengekalkan fokus kepada asas (dan melaksanakan) beberapa pembaharuan struktur untuk menjadikannya lebih produktif dan berdaya saing...daripada pendidikan sehinggalah kepada menambah baik iklim pelaburan, untuk rasionalisasi subsidi, konsolidasi fiskal dan sebagainya.

"Tiada kaedah yang pantas dan mudah bagi kelemahan ringgit, penurunan ringgit berbanding dolar AS menjadi kebimbangan disebabkan inflasi makanan, dan sebahagian besar daripada perdagangan didominasi dalam dolar AS," katanya pada taklimat media secara maya mengenai Kemas Kini Ekonomi Asia Timur dan Pasifik oleh Bank Dunia.

Sanghi berkata lebih 80 peratus daripada eksport Malaysia dan 80 peratus import diberikan invois dalam dolar AS.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz baru-baru ini berkata kedudukan fiskal Malaysia masih kukuh, manakala hutang Kerajaan Persekutuan adalah terkawal.

Tengku Zafrul berkata walaupun ringgit telah merosot berbanding dolar AS sejak awal 2022, pelbagai mata wang lain juga menyusut dengan kadar yang lebih ketara, termasuk yen Jepun, pound Britain, euro dan dolar Taiwan.

Dalam pada itu, Sanghi berkata Kadar Dasar Semalaman (OPR) Malaysia kini pada 2.5 peratus, masih di bawah paras sebelum COVID-19 iaitu 3.0 peratus dan menyifatkan kadar pengetatan itu sebagai 'normalisasi' berikutan pemulihan ekonomi dan peningkatan inflasi.

Bagaimanapun, menurutnya Malaysia perlu mengekalkan spread tertentu di antara kadar dana Fed dengan OPR berikutan spread yang amat luas boleh menyebabkan aliran keluar modal dari negara itu.

-- BERNAMA