BISNES
Malaysia peroleh pelaburan digital berjumlah RM2.97 bilion dari China - Gobind

Gobind Singh berkata, pencapaian itu mengesahkan kedudukan Malaysia sebagai peneraju serantau dalam transformasi digital dan inovasi. - Gambar fail
PUTRAJAYA: Malaysia memperoleh pelaburan digital disahkan berjumlah RM2.97 bilion daripada pemain teknologi terkemuka China yang bakal mencipta lebih 6,800 peluang pekerjaan digital bernilai tinggi di seluruh negara, kata Menteri Digital Gobind Singh Deo.
Beliau berkata pencapaian itu yang merupakan hasil daripada misi pelaburan ke China yang diketuainya baru-baru ini mengesahkan kedudukan Malaysia sebagai peneraju serantau dalam transformasi digital dan inovasi.
Menurutnya, misi itu, yang diadakan sempena Persidangan Kecerdasan Buatan Sedunia (WAIC) 2025 di Shanghai, membuahkan hasil konkrit dan kemajuan strategik yang akan mempercepatkan peralihan Malaysia kepada ekonomi berpendapatan tinggi yang dipacu secara digital.
Gobind berkata syarikat seperti Baidu (melalui Wisetech), Tsing Digital, iSoftStone, Inspur Group, China Mobile International dan China Unicom, telah menyatakan sokongan mereka terhadap aspirasi digital Malaysia dan membawa bersama mereka teknologi canggih dan kepakaran yang akan mengukuhkan ekosistem teknologi negara."Misi itu mencerminkan kekuatan dan momentum inisiatif Malaysia Digital (MD), yang terus menarik pelaburan berkualiti tinggi sejajar dengan keutamaan pembangunan negara.
"Melalui pengiktirafan Status MD dan perkongsian strategik, Malaysia memajukan daya saing digital globalnya sambil membuka peluang baharu di Selangor, Johor dan Perak," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Gobind juga mempelawa syarikat China untuk membuka lebih banyak pusat inovasi di Malaysia, yang menunjukkan kesungguhan negara untuk menjadi hab inovasi digital di ASEAN.
Beliau menekankan kepentingan membina ekosistem berasaskan teknologi baharu seperti platform mobiliti autonomi dan pusat arahan nasional yang akan berfungsi sebagai pemboleh utama pembangunan bandar pintar dan tadbir urus digital lanjutan.
"Ketika teknologi digital membentuk semula setiap aspek masyarakat, Malaysia terus meneraju dengan pendekatan berasaskan nilai dan berpandangan ke hadapan," katanya.
Beliau menyifatkan kepentingan agen kecerdasan buatan (AI) yang semakin meningkat -- sistem pintar yang mampu melaksanakan tugas dan membuat keputusan sendiri -- sebagai ciri penentu landskap digital moden.
"Sistem ini merevolusikan perkhidmatan awam dan industri, tetapi kejayaannya bergantung kepada keyakinan orang ramai bahawa ia beroperasi dengan cara yang selamat, beretika, dan sejajar dengan nilai masyarakat," katanya.
Gobind berkata Malaysia juga bakal melancarkan Rangkaian Keselamatan AI ASEAN semasa kepengerusian ASEAN tahun ini untuk membantu menyelaraskan rangka kerja tadbir urus di seluruh rantau ini.
Menurutnya, dunia sedang memasuki era kecerdasan, yang mana agen AI akan memainkan peranan yang semakin kritikal, dan orang ramai perlu mempercayai bahawa sistem ini selari dengan nilai dan keperluan masyarakat mereka.
Untuk menyokong penggunaan AI yang bertanggungjawab, beliau mencadangkan pembangunan rangka kerja pensijilan AI, mekanisme untuk memastikan teknologi baru muncul mencerminkan keutamaan negara, konteks budaya dan perlindungan etika.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami