BUSINESS
Malaysia sedia terus berunding isu tarif bersama AS - MITI

Tengku Zafrul berkata, semua talian komunikasi antara kedua-dua pihak akan terus dibuka bagi memastikan hasil yang dipersetujui dapat dicapai. - Foto fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Malaysia menyatakan kesediaannya untuk terus bekerjasama dengan Amerika Syarikat (AS) bagi mencapai penyelesaian bersama berhubung isu tarif timbal balas yang diumumkan oleh pentadbiran Presiden Donald Trump.
Perkara itu dimaklumkan oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz, yang mengetuai delegasi Malaysia dalam perbincangan bersama Setiausaha Perdagangan AS, Howard Lutnick dan Wakil Perdagangan AS, Duta Besar Jamieson Greer, di Washington DC pada 24 April lalu.
Menurut MITI, Malaysia kekal terbuka untuk meneruskan rundingan meliputi empat bidang utama iaitu pengurangan defisit perdagangan, penanganan halangan bukan tarif, perlindungan teknologi, serta meneroka perjanjian perdagangan dua hala.
Malaysia turut menyambut baik pemberhentian sementara pelaksanaan tarif selama 90 hari oleh AS, dan melihatnya sebagai peluang strategik untuk mengadakan perbincangan yang lebih konstruktif.Dalam pertemuan itu, MITI menegaskan bahawa AS adalah rakan dagang strategik yang penting buat Malaysia.
Syarikat-syarikat AS turut memberi sumbangan besar kepada ekonomi negara, manakala prestasi perdagangan dua hala antara kedua-dua negara dilaporkan semakin seimbang dalam tempoh sedekad lalu.
Tengku Zafrul dalam kenyataannya berkata, semua talian komunikasi antara kedua-dua pihak akan terus dibuka bagi memastikan hasil yang dipersetujui dapat dicapai, sekali gus menjamin kelangsungan aliran perdagangan yang saling menguntungkan.
"Saya percaya mesyuarat-mesyuarat bersama Setiausaha Perdagangan AS, Howard Lutnick, dan Wakil Perdagangan AS, Duta Besar Jamieson Greer adalah langkah yang menuju ke arah yang betul.
"Kami akan terus mengekalkan momentum dengan membuat susulan kepada beberapa isu utama yang dibincangkan segera dalam tempoh 90 hari pemberhentian sementara pelaksanaan tarif timbal balas.
"Malaysia juga menegaskan bahawa semua talian komunikasi kekal terbuka dan kami akan terus berusaha untuk mencapai penyelesaian yang baik bagi perkara tarif timbal balas ini." kata Tengku Zafrul dalam kenyataan tersebut.
Turut disentuh dalam perbincangan adalah potensi memperkukuh hubungan AS-ASEAN, memandangkan Malaysia kini memegang jawatan Pengerusi ASEAN tahun ini - peluang yang dilihat bertepatan dalam memperkukuh kestabilan dan matlamat serantau.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami