Malaysia menubuhkan Pusat Revolusi Perindustrian Keempat (C4IR), sebuah pusat bebas di bawah Forum Ekonomi Dunia (WEF) yang akan dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada separuh kedua tahun ini.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, penubuhan pusat itu yang juga pertama di Asia Tenggara menunjukkan komitmen kerajaan ke arah mengutamakan teknologi sebagai pemangkin utama pertumbuhan ekonomi dan pemulihan pasca pandemik.

Menurut beliau, ia juga adalah untuk menyokong pencapaian wawasan menyeluruh Malaysia di bawah Dasar 4IR yang dilancarkan pada 2021 dan Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia.

“Malaysia sedang mempercepatkan transformasi digitalnya, dan keupayaan kita untuk memanfaatkan teknologi 4IR seperti kecerdasan buatan, nanoteknologi, tenaga boleh diperbaharui dan pengkomputeran kuantum.

“Semua itu akan menjadi salah satu pemacu utama bagi pertumbuhan ekonomi negara yang mampan, berdaya tahan dan inklusif dalam beberapa dekad akan datang.

“Sehubungan itu, penubuhan C4IR memastikan teknologi pilihan Malaysia mampu menghasilkan manfaat yang bermakna kepada manusia sejagat dalam interaksi teknologi tersebut merentasi alam fizikal, digital dan biologi,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Tambah beliau, Kementerian Kewangan juga akan bekerjasama dengan kementerian berkaitan bagi memastikan kejayaan C4IR sebagai platform untuk pemindahan teknologi dan bagi membangunkan kapasiti tempatan secepat mungkin.

Sebaik sahaja ditubuhkan, C4IR akan diuruskan Unit Perancang Ekonomi di Jabatan Perdana Menteri dengan program yang akan dirangka dan dilaksanakan dengan kerjasama MOF, Kementerian Komunikasi dan Multimedia dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi.

Mereka yang akan menerima manfaat dalam agenda 4IR Malaysia termasuk golongan belia, perusahaan sosial, sektor perniagaan dan sektor awam.

“C4IR akan menjadi sebahagian daripada rangkaian global WEF untuk kerjasama pelbagai pihak bagi merealisasikan faedah teknologi baru muncul dan inovatif.

“Melalui rangkaian pusat sedia adanya di serata dunia, C4IR merintis model tangkas dan berpaksikan kemanusiaan dalam pembangunan dan pelaksanaan dasar yang berfokuskan teknologi,” kata Tengku Zafrul.

Penubuhan pusat itu dijangka membantu mempercepatkan penggunaan teknologi yang akan menjamin pertumbuhan yang lebih saksama, inklusif dan mampan untuk Malaysia apabila ekonomi pulih daripada pandemik COVID-19.