MOSCOW: Walaupun terdapat kemungkinan perjanjian damai antara Amerika Syarikat dan Iran dimeterai, kestabilan berkekalan di Asia Barat masih belum terjamin, kata Pengarah Perkhidmatan Risikan Luar Rusia (SVR), Sergey Naryshkin, pada Isnin, lapor Anadolu Ajansi (AA) yang memetik agensi berita Rusia TASS.
“Secara ringkasnya, keamanan masih rapuh,” kata Naryshkin.
“Namun begitu, usaha penting yang dilaksanakan oleh kedua-dua pihak bersama pengantara untuk menyediakan draf memorandum awal memberikan alasan untuk percaya bahawa jika ia ditandatangani, usaha memulihkan keamanan di Asia Barat akan diteruskan,” katanya.
Naryshkin berkata, memorandum itu berpotensi membuka jalan kepada rundingan bagi mencapai perjanjian damai yang lebih menyeluruh.
Kenyataan beliau dibuat selepas pegawai dari AS, Iran dan Pakistan, yang bertindak sebagai pengantara, mengesahkan yang persetujuan dicapai antara Washington dan Tehran.
Dokumen itu dijangka ditandatangani di Geneva pada Jumaat.
Menurut Timbalan Menteri Luar Iran, Kazem Gharibabadi kedua-dua pihak merancang membincangkan program nuklear Iran sepanjang tempoh gencatan senjata selama 60 hari yang dicadangkan.
Beliau juga berkata, AS akan menamatkan sekatan maritim terhadap Iran mulai 15 Jun, manakala operasi ketenteraan di semua barisan hadapan, termasuk di Lubnan akan dihentikan serta-merta dan secara kekal.
-- BERNAMA-ANADOLU