KUALA LUMPUR: Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) dengan kerjasama Majlis Kayu-Kayan Malaysia (MTC) berjaya memadankan 88 pengeksport produk berasaskan kayu Malaysia dengan pembeli asing dari 23 negara dan menjana nilai eksport RM147 juta.

Prestasi itu dicatatkan daripada 773 mesyuarat perniagaan yang diadakan sempena Ekspo Kayu Malaysia (MWE) 2023 pada 19 Jun, 2023.

Dalam kenyataan bersama pada Jumaat, Matrade dan MTC menjelaskan, produk yang diperoleh pembeli asing termasuk papan lapis, papan gentian ketumpatan sederhana (MDF), venir, pintu kayu, lantai kayu dan produk perabot.

Eksport kayu dan produk kayu Malaysia pada 2022 meningkat sebanyak 10.6 peratus kepada RM25.21 bilion sekali gus menjadi hasil tertinggi yang direkodkan oleh industri kayu dalam beberapa tahun kebelakangan ini, jelas kedua-dua pihak.

"Produk berasaskan kayu yang paling utama dieksport dari Malaysia ialah perabot kayu, papan lapis, kayu gergaji, papan gentian dan kayu tanggam.

"Destinasi eksport utama termasuk Amerika Syarikat, Jepun dan China," jelasnya.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pemecutan Eksport) Matrade, Sharimahton Mat Saleh berkata, kerjasama antara Matrade dan MTC menunjukkan perkongsian strategik yang kukuh dalam mempercepat dan melonjakkan eksport untuk peserta industri kayu Malaysia.

"Semua pengeksport Malaysia digesa memanfaatkan inisiatif eksport Matrade untuk mereka kekal berdaya tahan dalam menghadapi cabaran global," katanya.

Sementara itu, Pengerusi MTC, Zainal Abidin Abdullah berkata, pihaknya teguh dalam komitmen untuk memupuk pertumbuhan industri kayu-kayan Malaysia.

"Matrade dan MTC akan terus menyediakan platform dan inisiatif bernilai untuk syarikat Malaysia memperluaskan peluang eksport dan mengukuhkan kehadiran global mereka," katanya dalam kenyataan yang sama.

Syarikat Malaysia yang berminat untuk menyertai program Matrade boleh menghubungi agensi itu menerusi e-mel kepada [email protected] atau layari saluran media sosial atau laman web Matrade www.matrade.gov.my untuk mendapatkan maklumat lanjut.

Layari www.mtc.com.my atau e-mel kepada [email protected] untuk maklumat lanjut mengenai program, inisiatif dan perkhidmatan sokongan MTC. - BERNAMA