MATRADE pertingkat usaha global bagi pengeksport Malaysia, sedia 203 program pada 2026

Menurut Abu Bakar, program berkenaan mencerminkan komitmen teguh MATRADE untuk melonjakkan jenama Malaysia ke pasaran global. - Gambar Bernama
KUALA LUMPUR: Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) meningkatkan usaha untuk menyokong pengembangan global pengeksport Malaysia menerusi pelan hala tuju 2026 yang merangkumi 203 program promosi perdagangan berimpak tinggi.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) yang baru dilantik, Abu Bakar Yusof berkata, program berkenaan mencerminkan komitmen teguh MATRADE untuk melonjakkan jenama Malaysia ke pasaran global.
"Inisiatif ini dirangka secara strategik untuk memperkasakan 13,400 syarikat Malaysia terutama perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dalam pasaran eksport," katanya dalam kenyataan hari ini.
Abu Bakar yang dilantik sebagai CEO MATRADE pada 20 Dis 2025 turut menekankan keutamaan agensi itu untuk memastikan kesinambungan yang berterusan dan momentum eksport yang mampan di bawah Rancangan Malaysia ke-13.
"MATRADE terus berdedikasi untuk memberikan hasil yang ketara kepada pengeksport kita di samping merangsang ekosistem yang memacu pertumbuhan inklusif dan mampan bagi ekonomi negara," katanya.
Sementara itu, pelan hala tuju strategik 2026 menekankan tumpuan yang kukuh terhadap kesinambungan perniagaan dan pembangunan modal insan, termasuk memperkukuh kecekapan tenaga kerja bagi menangani trend mega global baharu seperti kecerdasan buatan serta cabaran yang berlaku daripada kesan tarif dan dinamik perdagangan yang sentiasa berubah.
Selain itu, MATRADE akan meneruskan kerjasama strategik dengan mengukuhkan lagi perkongsian awam-swasta bersama-sama entiti tempatan dan antarabangsa terkemuka untuk memperteguh ekosistem perdagangan dan eksport serta memudahkan pengembangan global untuk syarikat Malaysia, terutama PMKS.
Agensi itu juga akan mempercepat agenda kemampanan negara dengan memperluas Program Penghijauan Rantaian Bekalan Eksport supaya PMKS dan pengeksport lebih bersedia untuk mematuhi keperluan pematuhan dan pendedahan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) di peringkat global.
Inisiatif ini meletakkan MATRADE sebagai pemudah cara strategik perdagangan mampan, menyokong syarikat Malaysia dalam memenuhi harapan ESG global dan pada masa sama meningkatkan akses pasaran, daya tahan rantaian bekalan dan daya saing antarabangsa untuk jangka panjang.
MATRADE juga akan memperkukuh kerjasama di peringkat dasar menerusi Program Libat Urus Kemampanan Kerajaan.
Di peringkat dalaman, agensi itu menggalakkan penerimagunaan tenaga solar dan infrastruktur hijau, dan baru-baru ini dianugerahkan Piawaian Emas Pengurusan Tenaga oleh Malaysian Green Technology and Climate Change Corporation.
Satu lagi tumpuan adalah kepada kepelbagaian pasaran.
Menurut Abu Bakar, MATRADE sedang giat melaksanakan inisiatif eksport di pasaran pesat membangun dan berkembang pesat termasuk Amerika Latin, Asia Tengah dan Selatan, Asia Barat dan Afrika sambil memperkukuh hubungan perdagangan dan eksport dengan rakan dagang tradisi seperti Amerika Syarikat, China, ASEAN dan Kesatuan Eropah.
"Kami akan terus bekerjasama rapat dengan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri dalam mempromosikan penggunaan perjanjian perdagangan bebas (FTA) sedia ada bagi mempertingkat akses pasaran, memperkukuh daya tahan rantaian bekalan dan memudahkan perdagangan digital yang menyeluruh.
"Bagi tempoh Januari hingga November 2025, eksport ke pasaran FTA menyumbang kira-kira 67 peratus daripada jumlah eksport Malaysia," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


