Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) meningkatkan sasaran jualan pada Ekspo China-ASEAN (CAEXPO) ke-13 memandangkan kuasa beli pengguna China yang kukuh dan jumlah peserta pameran Malaysia bertambah kepada 200 berbanding 150 tahun lepas.

Pengarah Projek Malaysia Pavilion Ong Yew Chee berkata Malaysia mencatatkan prestasi hebat pada CAEXPO 2015 dengan pertumbuhan 27 peratus dalam jualan kepada RM214.61 juta berbanding RM168.57 juta yang diraih pada tahun sebelumnya.

"Kami yakin sasaran berkenaan boleh dicapai.

"MATRADE akan mengambil ruang yang lebih besar melibatkan kawasan seluas 10,630 kaki persegi berbanding 9,514 kaki persegi tahun lepas, dipacu oleh reputasi positif dan permintaan tinggi bagi produk dan perkhidmatan Malaysia di China," katanya pada sidang media mengenai ekspo berkenaan di sini hari ini.

Ekspo tersebut akan berlangsung mulai 23 hingga 26 Sept ini di Nanning, China.

"Tahun ini, MATRADE memohon tambahan 100 ruang pameran bagi memenuhi permintaan yang besar daripada syarikat-syarikat Malaysia untuk menyertai CAEXPO," katanya.

Tahun lepas, Malaysia Pavilion mempunyai 146 ruang pameran. Ong berkata Malaysia Pavilion akan dibahagikan kepada enam kluster iaitu makanan dan minuman, kesihatan dan kesejahteraan, produk gaya hidup, francais, perkhidmatan dan agensi kerajaan.

Selain perdagangan, Malaysia juga akan memberi tumpuan kepada komponen pelancongan dan pelaburan yang akan dikendalikan masing-masing oleh Tourism Malaysia dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia.

Bagi mempromosikan lagi CAEXPO dalam kalangan syarikat Malaysia, MATRADE dan sekretariat CAEXPO akan bersama-sama menganjurkan pameran bergerak di Kuala Lumpur, Kuching, Johor Bahru dan Sungai Petani bermula 9 hingga 12 Mei.