PETALING JAYA: MBSB Bank Bhd akan mematuhi langkah keselamatan terkini yang diumumkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) bagi melindungi pengguna daripada penipuan (scam) kewangan, terutamanya melalui transaksi dalam talian.

Ketua Pegawai Eksekutif MBSB Bank Datuk Nor Azam M. Taib berkata, walaupun institusi kewangan melahirkan beberapa kebimbangan terhadap isu tersebut, namun ia mesti dilakukan bagi membantu mengekang penipuan dan melindungi pelanggan.

"Tiada jalan lain lagi, kita akan ikut apa yang dikehendaki BNM," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sijil kepada 23 peserta usahawan yang menamatkan "Growth Entrepreneurship Assistance Programme" (GRAP) pada Selasa.

Pada Isnin lalu, BNM berkata institusi kewangan perlu beralih daripada menggunakan kata laluan sekali sahaja (OTP) melalui sistem pesanan ringkas (SMS) kepada kaedah pengesahan yang lebih selamat untuk aktiviti atau transaksi dalam talian, dan seterusnya memperketatkan peraturan pengesanan penipuan dan bertindak menyekat transaksi yang disyaki terlibat dengan penipuan.

BACA: Bank akan laksanakan lima langkah utama BNM untuk tangani penipuan kewangan

Pihak bank juga perlu melaksanakan tempoh bertenang untuk pendaftaran kali pertama bagi perkhidmatan perbankan dalam talian atau peranti yang selamat; pelanggan akan dihadkan kepada hanya satu peranti mudah alih atau peranti selamat untuk pengesahan transaksi perbankan dalam talian dan semua bank dikehendaki menyediakan talian hotline khusus untuk aktiviti penipuan kewangan.

'Scam': BNM umum lima langkah kawalan tambahan kukuhkan perlindungan

Sementara itu, mengenai prospek bank tahun ini, Nor Azam positif bahawa MBSB akan menunjukkan prestasi yang lebih baik memandangkan terdapatnya peningkatan dalam keputusan kewangan bagi suku pertama dan kedua.

"Suku ketiga kami menunjukkan prestasi yang lebih baik dari separuh pertama tahun ini dan kami fikir suku keempat juga akan seperti itu.

"Bagaimanapun, pada tahun depan, kita tidak pasti berapa lama pertumbuhan akan kekal, kerana sebagai sebuah ekonomi kecil, kita (Malaysia) bergantung kepada persekitaran, yang mana mungkin tidak begitu stabil," katanya.

Mengenai inisiatif GRAP, Nor Azam berkata bank itu merancang untuk melatih peserta ke peringkat lebih tinggi, seperti memasarkan produk mereka di platform e-dagang dan membantu mengembangkan keupayaan perniagaan mereka.

Peserta yang menerima sijil penyertaan GRAP merupakan penduduk PPR Desa Rejang di Setapak, Kuala Lumpur, dengan 80 peratus daripada mereka adalah ibu tunggal.

Para peserta didedahkan dengan program latihan selama tujuh bulan, dari Februari hingga Ogos 2022 merangkumi subjek seperti jualan dan pemasaran, kesejahteraan emosi, pembangunan produk, minda kreatif, kaedah perakaunan dan pengurusan rekod.

Program GRAP itu adalah dengan kerjasama Islamic Relief Malaysia.

Nor Azam berkata secara purata, peserta berjaya mencatat peningkatan dalam pendapatan bulanan melebihi 95 peratus, dengan 84 peratus menjalankan perniagaan makanan dan selebihnya terlibat dalam aktiviti jahitan dan "drop shipping", satu bentuk perniagaan runcit yang mana operator menerima tempahan tanpa stok tersedia.

-- BERNAMA