KUALA LUMPUR: Tiga persatuan mewakili industri perbankan tempatan menyokong penuh lima langkah utama untuk memerangi penipuan kewangan seperti yang diumumkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM).

Langkah-langkah penting itu diumumkan oleh gabenor BNM, Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunos pada pelancaran Pameran Jenayah Kewangan semalam (26 September).

Dalam satu kenyataan bersama hari ini, Persatuan Bank-Bank Dalam Malaysia (ABM), Persatuan Institusi Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (AIBIM) dan Persatuan Institusi Kewangan Pembangunan (ADFIM) berkata industri perbankan mengakui bahawa pelaksanaan langkah-langkah ini mungkin membawa perubahan dalam pengalaman perbankan dalam talian dan harapan pelanggan.

"Urus niaga perbankan dalam talian mungkin akan mengambil tempoh yang lebih lama disebabkan langkah keselamatan dan semakan tambahan.

"Sehubungan itu, kami memohon kesabaran dan pemahaman pelanggan mengenai kelewatan dan kesulitan yang dijangka akan berlaku apabila langkah ini dilaksanakan. Bagaimanapun, langkah-langkah adalah penting untuk keselamatan tambahan pelanggan bank," katanya.

Mereka juga berkata bahawa bank-bank juga komited untuk memastikan komunikasi yang betul dengan pelanggan berhubung dengan langkah di atas termasuk tarikh pelaksanaan untuk pelbagai langkah, sebarang perubahan kepada proses dan tindakan yang diperlukan oleh pelanggan dan pelbagai butiran lain untuk mendapatkan bantuan.

Lima langkah utama termasuk bertukar daripada penggunaan kata laluan satu kali SMS (OTP) kepada kaedah pengesahan yang lebih selamat seperti melalui perisian pengesahan pelbagai faktor yang selamat atau token perkakasan untuk urus niaga tertentu.

Urus niaga ini termasuk pemindahan dana dan pembayaran, perubahan maklumat peribadi dan tetapan akaun.

Langkah lain termasuk mengetatkan peraturan pengesanan penipuan bank dan tindakan untuk menyekat urus niaga yang mencurigakan, pengesahan dan tempoh bertenang untuk pendaftaran kali pertama perkhidmatan e-perbankan atau peranti selamat serta mengehadkan pengesahan urus niaga perbankan elektronik kepada satu peranti mudah alih atau peranti selamat bagi setiap pemegang akaun.

Akhir sekali, bank juga akan mempunyai saluran/talian aduan khusus yang beroperasi 24 jam sehari, tujuh hari seminggu untuk pelanggan melaporkan insiden atau mensyaki berlaku penipuan, katanya.

Persatuan-persatuan bank itu juga mengingatkan pelanggan supaya sentiasa berwaspada pada setiap masa semasa melakukan urus niaga dalam talian termasuk mengikuti panduan keselamatan perbankan dalam talian.

Mereka menggesa pelanggan untuk tidak memuat turun sebarang fail pemasangan (fail APK) pada peranti mereka dan hanya memuat turun aplikasi daripada gedung aplikasi tulen, memastikan imej dan/atau frasa keselamatan perbankan dalam talian mereka dipaparkan dengan betul pada skrin sebelum log masuk dan tidak klik pada pautan yang dihantar melalui mesej sembang seperti SMS, WhatsApp, Messenger atau perkhidmatan lain yang serupa.

ABM, AIBIM dan ADFIM berkata mereka juga mengalu-alukan langkah untuk meningkatkan lagi Pusat Respons Scam (Penipuan) Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (CCID) Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebagai platform perkongsian maklumat yang lebih sistematik, membolehkan tindakan lebih pantas untuk mengelakkan kerugian.

Pemegang akaun yang menghadapi urus niaga mencurigakan melibatkan akaun bank mereka dinasihatkan supaya memaklumkan bank mereka dengan segera, menghubungi Pusat Respons Penipuan CCID di talian 03-26101559/1599 dan membuat laporan polis untuk memudahkan siasatan.

-- BERNAMA