BISNES
MCBA puji kepemimpinan Malaysia jadi orang tengah gencatan senjata Thailand-Kemboja

Yaw berkata MCBA percaya bahawa pertumbuhan ekonomi mestilah berasaskan sikap saling menghormati, kerjasama serantau dan kestabilan jangka panjang. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR: Persatuan Perniagaan Malaysia-Kemboja (MCBA) memuji peranan kepemimpinan Malaysia yang menjadi orang tengah kepada persetujuan gencatan senjata antara Thailand dengan Kemboja, susulan mesyuarat khas yang diadakan di Putrajaya semalam.
Ringkasan AI
- Malaysia sebagai pemudah cara damai: Perdana Menteri Anwar Ibrahim berjaya memimpin mesyuarat khas di Putrajaya yang membawa kepada persetujuan gencatan senjata serta-merta antara Thailand dan Kemboja.
- Pengiktirafan kepemimpinan serantau: MCBA memuji kepemimpinan Malaysia dan menyokong usaha diplomasi proaktif dalam peranan sebagai Pengerusi ASEAN.
- Seruan kepada kerjasama ASEAN: MCBA menggesa negara anggota ASEAN terus menyokong mekanisme diplomatik demi keamanan, kestabilan dan pertumbuhan ekonomi serantau.
"Gencatan senjata ini ialah langkah penting ke arah memulihkan keamanan dan kestabilan serantau. Kami merakamkan setinggi-tinggi penghormatan kepada Malaysia atas kepemimpinan yang ditunjukkan dalam melancarkan kejayaan ini.
"Pada masa yang sama, kami turut melafazkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Perdana Menteri Kemboja Hun Manet dan Pemangku Perdana Menteri Thailand Phumtham Wechayachai atas kebijaksanaan politik dan keberanian mereka dalam membuat keputusan bertanggungjawab demi kepentingan negara dan keamanan serantau," katanya dalam kenyataan hari ini.
Yaw berkata MCBA sebagai persatuan perniagaan serantau yang mempromosikan keamanan, perdagangan dan pelaburan, percaya bahawa pertumbuhan ekonomi mestilah berasaskan sikap saling menghormati, kerjasama serantau dan kestabilan jangka panjang.
"Kami menggesa semua negara anggota ASEAN untuk terus menyokong usaha diplomatik dan mekanisme pembinaan kepercayaan bagi mengelakkan ketegangan berterusan dan memperkukuh persefahaman bersama. Keamanan sentiasa menjadi asas kepada kemakmuran," katanya.
MCBA katanya, kekal komited untuk bekerjasama rapat dengan pihak berkepentingan di Kemboja dan Thailand dan seluruh rantau ASEAN untuk menggalakkan kewujudan bersama secara aman dan ketahanan ekonomi.
Semalam, Hun Manet dan Wechayachai bersetuju melaksanakan gencatan senjata serta-merta dan tanpa syarat berhubung dengan isu pertikaian sempadan, hasil daripada mesyuarat khas yang dipengerusikan oleh Anwar di Putrajaya.
Dua negara jiran Asia Tenggara itu mempunyai sejarah panjang pertikaian diplomatik melibatkan 817 kilometer sempadan bersama yang belum dimuktamadkan.
Ketegangan antara Thailand dengan Kemboja mula memuncak sejak 28 Mei, susulan pertempuran antara tentera kedua-dua negara berhampiran kawasan Preah Vihear yang dipertikaikan, menyebabkan seorang anggota tentera Kemboja terkorban.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami