MALAYSIA
Ditegur ponteng kelas, pelajar tingkatan dua tumbuk, ugut guru

Pelajar lelaki berusia 14 tahun itu ditahan polis pada hari sama dan direman selama dua hari bagi membantu siasatan. - Media sosial / X @update11111
KAJANG: Seorang guru lelaki di sebuah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) di sini ditumbuk dan diugut pelajar Tingkatan Dua selepas ditegur ponteng kelas Pendidikan Jasmani.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu daripada guru berusia 29 tahun terbabit kira-kira pukul 7.15 malam, pada Isnin.
"Siasatan awal mendapati kejadian berpunca apabila pelajar berkenaan yang sepatutnya berada di padang untuk kelas Pendidikan Jasmani tidak hadir, menyebabkan guru itu menegurnya.
"Pelajar terbabit tidak berpuas hati dengan teguran tersebut lalu bertindak agresif dengan menumbuk dan mengugut mangsa,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, pada Selasa.Susulan laporan yang dibuat, Naazron berkata, pelajar lelaki berusia 14 tahun itu ditahan polis pada hari sama dan direman selama dua hari bagi membantu siasatan.
Menurut beliau, pihaknya turut menerima arahan daripada Timbalan Pendakwa Raya untuk mendakwa suspek di Mahkamah Majistret Kajang pada Rabu.
Kes disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan dan Seksyen 506 kerana melakukan ugutan jenayah.
Seksyen 323 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda tidak melebihi RM2,000 atau kedua-dua sekali.
Sementara Seksyen 506 kanun sama memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali.
Video berdurasi 39 saat kejadian itu menjadi tular selepas dimuat naik di platform X oleh pemilik akaun @update11111.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami