KUALA LUMPUR: Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) menjangka mencapai eksport digital bernilai RM100 juta menerusi program DEX Connex di Vietnam.

MDEC dalam satu kenyataan berkata, program tersebut merupakan platform yang menyediakan sokongan penting kepada syarikat teknologi Malaysia bagi merangsang pengembangan dan pembangunan mereka di pasaran Vietnam.

"Ia menyediakan medan kepada peserta dari kedua-dua negara untuk berhubung, mengembangkan pasaran mereka, mempamerkan kepakaran teknologi Malaysia, dan membina pertumbuhan perniagaan yang menyumbang kepada pecutan ekonomi digital," katanya.

Program itu yang disertai 20 syarikat teknologi Malaysia merupakan kerjasama bersama Konsulat Jeneral Malaysia di Ho Chi Minh City, Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade), Ho Chi Minh City, InnoLab Asia dan Saigon Innovation Hub.

Pertukaran memorandum persefahaman (MoU) antara syarikat teknologi Malaysia dan Vietnam juga diadakan iaitu antara ServeDeck Innovation, syarikat teknologi penyelesaian kemudahan pintar Malaysia dan rakan kongsinya dari Vietnam termasuk AHT Tech Joint Stock Company dan 24Group Investment Company Ltd.

Pertukaran MoU itu adalah bertujuan mengukuhkan lagi kerjasama antara kedua-dua negara.

Sementara itu, MDEC sedang menganjurkan Malaysia Digital Expo 2023 (MDX 2023) yang bermula dari 25 Sept sehingga 8 Nov, 2023.

Ekspo yang berlangsung selama enam minggu itu bertujuan untuk menampilkan ekonomi digital Malaysia dan memperkasakan semua acara teknologi dengan penyertaan penceramah dan ahli panel antarabangsa dan tempatan daripada organisasi terkemuka.

Sementara itu, MDEC dalam satu kenyataan berasingan berkata, ia memeterai MoU dengan Australian Trade and Investment Commission (Austrade) untuk mengukuhkan lagi hubungan diplomatik dan komersial yang telah lama terjalin antara Malaysia dan Australia.

Menurutnya, Australia telah mengenal pasti empat sektor utama iaitu pertanian dan makanan, sumber, pendidikan dan kemahiran dan ekonomi digital untuk mengukuhkan lagi kerjasama ekonomi dengan Malaysia menerusi inisiatif  'Invested: Australia’s Southeast Asia Economic Strategy to 2040'.

“Perkongsian MDEC-Austrade bukan sahaja bukti hubungan dua hala yang kukuh antara Malaysia dan Australia tetapi juga menjanjikan prospek yang besar bagi keseluruhan rantau ASEAN dan Australia. 

“Kerjasama ini akan merangsang pertumbuhan ekonomi, memacu inovasi dan membuka peluang yang besar bagi perniagaan dan juga individu,” katanya.

-- BERNAMA