Skip to main content
Advertisement

Dunia

Pemimpin Nordik gesa pembaharuan menyeluruh platform digital bagi lindungi kanak-kanak

Perdana Menteri Iceland Kristrun Frostadottir, Perdana Menteri Norway Jonas Gahr Store, Perdana Menteri Sweden Ulf Kristersson, dan Petteri Orpo hadir pada pembukaan sesi pleno di Parlimen Finland semasa mesyuarat Majlis Nordik di Helsinki, Finland, 27 Okt 2026. REUTERS
Perdana Menteri Iceland Kristrun Frostadottir, Perdana Menteri Norway Jonas Gahr Store, Perdana Menteri Sweden Ulf Kristersson, dan Petteri Orpo hadir pada pembukaan sesi pleno di Parlimen Finland semasa mesyuarat Majlis Nordik di Helsinki, Finland, 27 Okt 2026. REUTERS

Advertisement

HELSINKI: Pemimpin negara Nordik pada Selasa menggesa perubahan asas terhadap reka bentuk media sosial dan platform digital lain bagi melindungi kesihatan serta perkembangan kanak-kanak dan golongan muda dengan lebih baik.

Dalam satu mesyuarat di Helsinki yang dihoskan oleh Perdana Menteri Finland Petteri Orpo dan dihadiri wakil dari Denmark, Sweden, Norway, Iceland, Greenland, Kepulauan Faroe dan Kepulauan Aland, satu deklarasi bersama diterima pakai bagi menegaskan keperluan mendesak untuk memperkukuh perlindungan dalam talian bagi golongan bawah umur.

Deklarasi itu memberi amaran bahawa telefon pintar, media sosial dan kecerdasan buatan (AI) menimbulkan risiko besar terhadap kesejahteraan, kesihatan mental, pembelajaran dan perkembangan kanak-kanak serta golongan muda. Kesan sepenuhnya teknologi berkenaan, bagaimanapun masih belum diketahui dengan jelas.

Kanak-kanak mendapat akses kepada platform digital pada usia terlalu muda dan menggunakannya secara berlebihan, sedangkan platform berkenaan tidak direka untuk menyokong tumbesaran dan pembelajaran yang sihat, menurut deklarasi itu.

Beberapa negara Nordik kini sedang merangka undang-undang dan cadangan berkaitan had umur bagi penggunaan platform media sosial.

Sementara itu, pemimpin turut mengadakan perbincangan pada Selasa bersama pelajar berusia 12 hingga 14 tahun serta ahli politik muda mengenai perlindungan kanak-kanak dan golongan muda dalam persekitaran digital.

Mesyuarat itu berlangsung di luar acara Sidang Ke-78 Majlis Nordik yang diadakan di Helsinki dari Isnin hingga Khamis.

Finland memegang jawatan Presiden Majlis Nordik bagi 2026 manakala Denmark dan Kepulauan Faroe bersama-sama memegang jawatan Presiden Majlis Menteri Nordik.

-- BERNAMA-XINHUA

 

 

Must Watch Video

Advertisement