KUALA LUMPUR: Tenaga Nasional Bhd (TNB) melantik ketua pegawai operasinya, Datuk Megat Jalaluddin Megat Hassan menjadi presiden dan ketua pegawai eksekutifnya yang seterusnya, menggantikan Datuk Seri Baharin Din, yang tempoh perkhidmatannya akan tamat pada 29 Februari 2024.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia semalam, pelantikan Megat Jalaluddin oleh Menteri Kewangan (Inc) pemegang saham khas TNB akan berkuat kuasa 1 Mac tahun depan, untuk tempoh dua tahun sehingga 29 Februari 2026.

Megat Jalaluddin, 58, mula menyertai TNB pada 2006, kemudiannya ke Celcom pada 2008, sebelum kembali ke syarikat utiliti itu pada 2009.

"Megat Jalaluddin membina kerjayanya di TNB, yang mana beliau pernah berkhidmat dalam pelbagai jawatan kejuruteraan dan pengurusan dalam syarikat itu, termasuk perancangan perniagaan dan strategik, pembangunan perniagaan, pengurusan projek, penambahbaikan proses perniagaan, perkhidmatan pemeteran dan perkhidmatan kejuruteraan.

"Lembaga Pengarah TNB ingin merakamkan penghargaan kepada Baharin atas sumbangan beliau kepada syarikat," katanya.  - DagangNews.com