KUALA LUMPUR: Perkhidmatan terbaharu yang diperkenalkan Permodalan Nasional Bhd (PNB) menerusi syarikat milik penuhnya, Amanah Saham Nasional Bhd (ASNB) membolehkan para pemegang unit amanah melabur sambil berbakti kepada masyarakat.

Wakaf ASNB, yang dilancarkan pada 25 Oktober lalu, adalah wakaf yang bersifat kekal iaitu wakaf ’Muabbad’ yang mana dana wakaf akan sentiasa dikekalkan untuk pelaburan dan pulangan hasil daripada pelaburan tersebut akan diwakafkan.

“Sebagai contoh, apabila seseorang itu mempunyai RM100,000 dan dia ingin mewakafkan RM10,000 daripada unit amanahnya itu, bahagian itu akan dipindahkan kepada Majlis Agama Islam Wilayah Pesekutuan (MAIWP) sebagai pemegang ‘trustee’.

“Daripada situ, selepas ASNB mengumumkan pengagihan pulangan, dividen itulah yang akan digunakan untuk disalurkan kepada projek-projek wakaf di bawah sektor pendidikan, kesihatan dan pemerkasaan komuniti,” jelas Ketua Pegawai Eksekutif/Pengarah Eksekutif ASNB, Mohammad bin Hussin.

Mohamad memaklumkan, PNB dan ASNB hadir dengan perkhidmatan itu selepas mendapat maklum balas dan melihat ramai pemegang unit amanahnya yang terpaksa mencairkan atau menjualnya bagi membolehkan mereka menggunakan duit tersebut untuk menyumbang.

Dengan adanya Wakaf ASNB, mereka tidak perlu lagi berbuat demikian, cukup dengan mengisi borang permohonan supaya ASNB dapat menguruskan perpindahan unit amanah mereka kepada pelaburan wakaf.

Pada masa sama, kata Mohammad, ini juga sebagai satu pelengkap kepada perkhidmatan perancangan kewangan Islam di mana ASNB telah pun mempunyai pengurusan harta pusaka (estate planning) iaitu perkhidmatan hibah amanah.

Inisiatif ini bercambah daripada pelantikan ASNB melalui anak syarikatnya ASNB Wakalah Sdn Bhd sebagai 'mutawalli', pihak yang dipertanggungjawabkan untuk mentadbir dan mengurus perkara-perkara yang berkaitan dengan wakaf, oleh MAIWP pada 22 September 2021.

Kata pengerusi ASNB Wakalah, Prof Dr Mohamad Akram Laldin, ini membolehkan ASNB bukan sahaja menawarkan produk wakaf, tetapi menguruskan harta wakaf itu secara menyeluruh termasuk mengutip, mengurus dan mengagihkan sendiri dana tersebut kepada projek wakaf yang dikenal pasti.

“Apabila berwakaf dengan ASNB, unit amanah yang diwakafkan akan dikekalkan jadi dana wakaf akan kekal dan pahala pelabur yang berwakaf akan berterusan walaupun setelah ketiadaan pewakaf.

“Wakaf ASNB bukan sahaja ditawarkan kepada pelabur beragama Islam, malah bukan beragama Islam juga boleh berwakaf dengan ASNB,” jelasnya.

Pewakaf ASNB akan sentiasa menerima maklumat berkenaan wakaf yang disumbangkan menerusi laporan tahunan dan penyata tahunan, yang akan diteruskan juga kepada pewaris walaupun pewakaf sudah tiada.

Permohonan boleh dibuat secara atas talian di portal dan aplikasi myASNB bermula 1 November atau pemegang unit boleh ke kaunter cawangan ASNB di seluruh negara.


Agenda AWANI: Wakaf manfaat berterusan untuk semua