BISNES
Memperkasa usaha pencegahan awal kanser di Hospital Pakar Pusrawi Kuala Lumpur

Fokus utama Hospital Pakar Pusrawi terkini adalah perawatan kanser melalui Pusat Rawatan Kanser Azman Hashim.
KUALA LUMPUR : Kanser terus menjadi antara penyebab utama kematian di Malaysia, dan langkah pencegahan serta pengesanan awal adalah kunci utama untuk menangani beban penyakit ini secara berkesan.
Menurut Pakar Perunding Perubatan Keluarga di Hospital Pakar Pusrawi Kuala Lumpur, Dr Ahmad Ihsan Abu Bakar, masyarakat masih perlu diberi kesedaran mengenai kepentingan gaya hidup sihat dan saringan berkala untuk mencegah kanser atau mengesannya pada peringkat awal.
“Ramai pesakit datang ketika penyakit telah berada pada tahap yang lewat. Jika dapat dikesan awal, rawatan lebih berkesan dan peluang untuk sembuh juga lebih tinggi.
"Berdasarkan Laporan Registri Kanser Kebangsaan Malaysia 2017–2021, kanser payudara, kolorektal dan paru-paru adalah antara yang paling kerap direkodkan di negara ini," jelasnya.
Dr Ahmad Ihsan menjelaskan bahawa faktor genetik, persekitaran dan gaya hidup memainkan peranan dalam risiko kanser.
"Amalan pemakanan seimbang, tidak merokok, pengambilan vaksin seperti Human Papillomavirus (HPV) dan kekal aktif secara fizikal mampu mengurangkan risiko kanser tertentu.
“Langkah pencegahan ini sebenarnya bukan rumit, tetapi memerlukan komitmen dan kesedaran berterusan,” ujarnya.
Hospital Pakar Pusrawi Kuala Lumpur menyediakan beberapa bentuk saringan kanser di unit Pemeriksaan Kesihatan Eksekutif, hasil dana daripada Yayasan Azman Hashim.
Ini termasuk saringan bagi kanser payudara menggunakan teknologi digital mammogram 3D, ujian darah penanda kanser prostat, serta ujian lumuran (pap smear) dan HPV bagi kanser pangkal rahim.
“Salah satu kemudahan yang kami ada ialah fluoroskopi – kaedah pengimejan real-time yang jarang tersedia di banyak hospital.
"Ia digunakan, antara lain, dalam pengesanan kanser saluran pencernaan dan prosedur biopsi,” katanya dalam satu temubual dalam program Niaga AWANI pada Jumaat lalu.
Tambah beliau, adalah penting untuk orang ramai mendapatkan maklumat sahih mengenai kanser serta tidak menangguhkan pemeriksaan berkala, terutama bagi individu yang berisiko tinggi.
“Kesedaran masyarakat semakin meningkat, tetapi masih ramai yang rasa ‘nanti dululah’. Sedangkan masa itu sangat penting dalam rawatan kanser,” tegasnya.
Hospital yang baru sahaja melalui penjenamaan semula daripada Hospital Pusrawi Sdn Bhd ini merupakan hopsital swasta, anak syarikat milik penuh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan iaitu Pusrawi Holdings Heritage Sdn Bhd.
Ia mula ditubuhkan pada tahun 1984 di Wisma Baitulmal, Jalan Ipoh dan telah berpindah ke Jalan Tun Razak pada tahun 2006 sehingga ke hari ini.
Untuk maklumat lanjut mengenai perkhidmatan saringan, orang ramai boleh merujuk laman sesawang rasmi Hospital Pakar Pusrawi atau menghubungi pihak hospital secara terus.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami