KUALA LUMPUR: Semua penggubal polisi digital digesa meletakkan keutamaan mengarusperdanakan ekonomi digital ke atas semua lapisan masyarakat.

Ia bagi memastikan masyarakat yang terpinggir juga dapat bersama-sama merasai peluang yang sama, kata Pengarah Hal Ehwal Undang-Undang, Korporat dan Kerajaan untuk ASEAN dan pasaran baharu (Microsoft Malaysia dan ASEAN) Dr Jasmine Begum.

“Hal yang demikian ini kerana, kebolehcapaian dan ketidakupayaan sering kali menjadi kes untuk menagih simpati sejak sekian lama.

"Perkara ini sebenarnya bukan untuk menagih simpati, bahkan ia untuk pembangunan ekonomi. Sekiranya kita menganggap ia untuk menagih simpati, selama-lamanya akan dianggap begitu. Dan mereka tidak pun menagih simpati.

"Ia bersangkut paut dengan bagaimana cara kita untuk reset, kerana pada akhirnya, polisi dan teknologi menumpukan kepada hasil yang sama, iaitu masyarakat,” katanya dalam program Focus in Continuity: Roundtable Series: Digital Economy, disiarkan Astro AWANI malam tadi.

Jasmine berkata, keterangkuman dan aspek gender juga perlu diberikan perhatian semasa dalam merangka polisi digital.



Sementara itu, Naib Presiden Kanan Pelaburan Digital Perbadanan Ekonomi Malaysia (MDEC), Raymond Siva berkata, pengguna digital di negara ini semakin berkembang dan keperluan untuk memberikan pengajaran digital yang meluas amat diperlukan.

“Bagi kami, bukan sahaja pengajaran secara dalam talian, ia lebih kepada mengajar mereka (pengguna digital) kemahiran yang betul berkembang maju dalam ekonomi digital.

“Perkara asas seperti pengekodan (coding), menggunakan aplikasi WhatsApp untuk e-dagang, tetapi tidak semua boleh melakukannya disebabkan oleh kekangan kesambungan dan literasi.

Jelasnya lagi, Raymond percaya sistem pembelajaran terutamanya Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) perlu diperkemas untuk agar para graduan dapat memenuhi keperluan ekonomi digital hari ini dan menjadi pencipta bukan hanya sebagai pengguna semata-mata.

Menurut Rakan Penyelidik Kanan Khazanah Research Institute, Dr Rachel Gong berkata, keterangkuman digital dan tadbir urus digital dapat dilihat pada peringkat terbaik oleh pembuat polisi dengan mendapatkan pelbagai pemegang taruh ke dalam industri.

“Kita perlu memastikan masyarakat yang bukan fokus utama dalam industri ini tetapi sebahagian daripadanya, kita tidak mahu mereka terus tertinggal.

“Kita mahukan mereka juga menyumbang dan ini cara untuk ke hadapan untuk semua pembuat polisi,” ujarnya lagi.