KUALA LUMPUR: Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) sedang memperkukuh ekosistem yang lebih luas di sekeliling pembangunan pusat data Malaysia bagi membantu syarikat tempatan membina keupayaan dan melibatkan diri dalam pelbagai bidang industri.
Pengerusi MIDA Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata antara bidang tersebut termasuk kejuruteraan, pembinaan, sistem elektrik, penyejukan, telekomunikasi, keselamatan siber dan logistik.
Beliau berkata peluang ini bukan sekadar bagi pembangunan fizikal pusat data, malah merangkumi limpahan ekonomi lebih meluas yang boleh dibangunkan di sekeliling pusat tersebut.
“Pusat data merupakan pemacu kritikal bagi ekonomi digital dan pengkomputeran kita, namun ukuran sebenar kejayaannya melangkaui pusat data itu sendiri.
“Menarik pelaburan hanyalah langkah pertama. Tanggungjawab kita kini adalah untuk membina industri yang mampan, inklusif dan berdaya tahan,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan bersempena dengan program Data Centre Nexus (DCN) 2026, hari ini.
Tengku Zafrul berkata Malaysia mengukur kejayaannya bukan berdasarkan skala pelaburan yang diterima, sebaliknya melalui nilai yang dijana daripadanya termasuk perniagaan Malaysia yang lebih teguh, keupayaan tempatan yang lebih kukuh serta peluang yang berkekalan untuk rakyat Malaysia.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MIDA Datuk Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid berkata agensi itu kini lebih memberi tumpuan membina ekosistem yang boleh memanfaatkan nilai besar daripada pertumbuhan sektor tersebut.
“Pada tahun ini, kita bukan sahaja memikirkan bagaimana kita boleh mengembangkan industri ini, malah bagaimana kita boleh mencipta nilai yang berkekalan untuk Malaysia.
“Kecerdasan buatan (AI) sedang berkembang dengan pesat dan ia bersandarkan kepada asas kuasa pengkomputeran serta infrastruktur digital, namun, pertumbuhan itu perlu diimbangi dengan sikap bertanggungjawab dalam cara kita mengurus tenaga, air dan tanah, serta keupayaan yang kita bina di dalam negara,” katanya.
Sikh Shamsul berkata MIDA bukan sekadar mahukan lebih banyak pusat data dibangunkan di Malaysia, malah mahukan ekosistem yang berdaya saing, inovatif dan mampan.
Menurut MIDA, DCN 2026 akan menampilkan sesi pemadanan perniagaan khusus untuk memperkukuh hubungan antara pemain global dengan perniagaan Malaysia, dengan menghubungkan 14 syarikat pusat data bersama 51 vendor tempatan bagi meneroka potensi kerjasama dan peluang rantaian bekalan.
Ini merupakan pengembangan daripada DCN yang julung kali diadakan pada 2025, yang menghubungkan lapan syarikat pusat data dengan 17 syarikat rantaian bekalan.
Antara syarikat ekosistem yang menyertai DCN 2026 ialah pengeluar peralatan kritikal seperti Panasonic, Delta Electronics, Dunham-Bush, Powerwell International dan Cipta Industrial.
Penyedia perkhidmatan merentas rantaian nilai pusat data termasuk Gading Kencana, Ancom Energy, Northern Solar dan Ditrolic Energy.
Program tahun ini turut menampilkan sesi mengenai pembangunan rantaian bekalan pusat data dan ekosistem perindustrian Malaysia, yang disertai Cipta Industrial, Powerwell Holdings Bhd dan Delta Electronics Solutions untuk membincangkan peluang bagi pengilang Malaysia memperkukuh keupayaan mereka dalam menyokong industri tersebut.
MIDA memaklumkan program tahun ini tertumpu kepada empat tonggak strategik, yang merangkumi infrastruktur digital dipacu AI, infrastruktur mampan dan cekap sumber, ekosistem tempatan serta limpahan industri dan akses kepada teknologi digital.
“Tonggak ekosistem tempatan dan limpahan industri ini menumpukan kepada pengukuhan rantaian bekalan domestik, penciptaan pekerjaan mahir, serta pemerkasaan syarikat Malaysia untuk membina keupayaan merentas rantaian nilai infrastruktur digital.
“Program itu turut meneroka kecekapan tenaga, penggunaan tenaga boleh baharu, pengurusan sumber air yang bertanggungjawab dan operasi pusat data yang berhemat, serta cara-cara untuk memperluas penggunaan teknologi awan dan digital dalam kalangan perniagaan dan komuniti,” maklum agensi itu.
Sebagai agensi utama negara bagi penggalakan dan pembangunan pelaburan, MIDA memudahcarakan urusan pelaburan dan menerusi inisiatif #InvestLokal, memperkukuh hubungan antara pelabur global dengan perniagaan Malaysia bagi meluaskan penyertaan tempatan serta membina keupayaan domestik yang lebih mantap.
DCN 2026 yang bertemakan "Memajukan Infrastruktur Digital Dipacu AI dan Ekosistem Mampan", menghimpunkan pengendali pusat data, syarikat teknologi, agensi kerajaan, institusi kewangan dan syarikat rantaian bekalan Malaysia untuk membincangkan fasa seterusnya bagi ekosistem pusat data Malaysia yang sedang berkembang pesat.
-- BERNAMA