Skip to main content

Malaysia

Pindaan AUKU dibentang Disember ini, akta baharu menyusul - Fahmi

Fahmi (foto) berkata langkah fasa pertama itu menumpukan usaha segera menghapuskan peruntukan seksyen-seksyen yang dilihat mengekang kebebasan mahasiswa untuk bersuara dan berpersatuan di kampus. -Gambar fail
Fahmi (foto) berkata langkah fasa pertama itu menumpukan usaha segera menghapuskan peruntukan seksyen-seksyen yang dilihat mengekang kebebasan mahasiswa untuk bersuara dan berpersatuan di kampus. -Gambar fail

Advertisement

Advertisement

PUTRAJAYA: Jemaah Menteri pada Jumaat meluluskan cadangan pindaan terhadap Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) yang dijadual dibentangkan di Dewan Rakyat seawal Disember ini.

Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata langkah fasa pertama itu menumpukan usaha segera menghapuskan peruntukan seksyen-seksyen yang dilihat mengekang kebebasan mahasiswa untuk bersuara dan berpersatuan di kampus.

Menurut beliau, langkah berkenaan disusuli pelan jangka panjang bagi menggantikan keseluruhan perundangan legasi berkenaan dengan satu akta baharu menjelang tahun hadapan.

Advertisement

"Jemaah Menteri hari ini telah meluluskan cadangan daripada Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) untuk melaksanakan dua perkara.

"Pertama, meminda AUKU khususnya peruntukan seksyen yang dilihat mengekang kebebasan mahasiswa untuk bersuara ataupun berpersatuan, dan kedua untuk membangunkan satu akta yang baharu bagi menggantikan sepenuhnya AUKU dalam tempoh yang munasabah.

Advertisement

"Susulan itu, Jemaah Menteri bersetuju supaya Menteri Pendidikan Tinggi membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Pindaan AUKU untuk dibawa ke Parlimen pada bulan Disember ini," katanya dalam sidang media mingguan pasca-Mesyuarat Kabinet, di sini, pada Jumaat.

Mengulas mengenai penggubalan akta baharu sepenuhnya, Menteri Komunikasi itu menjelaskan proses berkenaan memerlukan ruang masa kerana melibatkan semakan menyeluruh tadbir urus institusi pengajian tinggi.

"Proses untuk membawa akta yang akan menggantikan sepenuhnya aspek-aspek terutama pendaftaran, penyenaraian, dan pengurusan universiti akan mengambil sedikit masa kerana KPT perlu mengambil kira beberapa perkara baharu dalam cara menguruskan universiti.

"Jadi kita jangkakan insya-Allah pada tahun depan, tetapi belum dinyatakan dalam mesyuarat yang mana... namun insya-Allah tahun depan," tambah beliau.

Media sebelum ini melaporkan pemansuhan dan reformasi menyeluruh terhadap AUKU terus menjadi antara tuntutan utama gerakan mahasiswa bagi menjamin kebebasan akademik serta penglibatan sivik anak muda di peringkat universiti awam.

Must Watch Video

Advertisement