Skip to main content

Malaysia

Pasangan kekasih dipenjara 30 tahun edar 173kg methamphetamine

Mahkamah memerintahkan hukuman penjara itu bermula dari tarikh tangkap pasangan itu pada 24 Feb 2022 selain Tan turut dikenakan 12 sebatan. -Gambar hiasan
Mahkamah memerintahkan hukuman penjara itu bermula dari tarikh tangkap pasangan itu pada 24 Feb 2022 selain Tan turut dikenakan 12 sebatan. -Gambar hiasan

Advertisement

Advertisement

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini memerintahkan sepasang kekasih dipenjara 30 tahun selepas didapati bersalah mengedar kira-kira 173 kilogram dadah jenis methamphetamine, empat tahun lepas.

Hakim Nurulhuda Nur’aini Mohamad Nor menjatuhkan hukuman itu terhadap Adam Tan Seng Tek, 34, dan wanita warga Vietnam, Nguyen Thi Kim Thanh, 33, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.

“Mahkamah memutuskan pendakwaan telah berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah dan mendapati kedua-dua tertuduh bersalah dan disabitkan ke atas pertuduhan,” katanya.

Advertisement

Mahkamah memerintahkan hukuman penjara itu bermula dari tarikh tangkap pasangan itu pada 24 Feb 2022 selain Tan turut dikenakan 12 sebatan.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa bersama-sama mengedar dadah jenis methamphetamine seberat 172,741.10 gram di sebuah unit kondominium di Residensi Kiara Jalil 1 di sini pada 9.30 malam, 24 Feb 2022.

Advertisement

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup serta sebatan tidak kurang daripada 12 kali, jika tidak dijatuhi hukuman mati.

Timbalan Pendakwa Raya Goh Ai Rene memohon hukuman berat mengambil kira kuantiti dadah yang terlibat iaitu seberat 172,741.10 gram.

“Dalam kes ini, saya pohon mahkamah mengambil kira berat dadah yang terlibat serta mengambil kira kepentingan awam, selain tertuduh kedua (Nguyen) merupakan warga asing yang telah melakukan kesalahan di negara ini.

“Kesalahan berkaitan dadah turut menjadi faktor kepada ancaman keselamatan dan juga ketenteraman negara serta kesihatan awam, bahkan dadah telah diisytiharkan sebagai musuh nombor satu negara pada tahun 1983,” katanya.

Peguam Kee Wei Loon yang mewakili kedua-dua tertuduh memohon mahkamah menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup terhadap anak guamnya, selain 12 sebatan terhadap Tan.

Beliau berkata trend hukuman bagi kes seumpama itu menunjukkan mahkamah kini tidak lagi menjatuhkan hukuman mati, sebaliknya memohon hukuman penjara seumur hidup mengikut peruntukan undang-undang.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement