KUALA LUMPUR: Malaysia diharap mampu menghasilkan kenderaan generasi baharu yang direka dan dibuat di dalam negara sebelum menembusi pasaran global, seiring usaha memperkukuh industri automotif bernilai tinggi.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Zuaida Abdullah berkata, aspirasi itu turut merangkumi usaha membangunkan lebih banyak vendor tempatan bertaraf Tier 1, selain mewujudkan pekerjaan bernilai tinggi dan meningkatkan pemindahan teknologi.
“Pada masa akan datang, kita mahu melihat kenderaan generasi baharu, maksudnya kereta yang benar-benar menggunakan teknologi baharu.
“Kalau boleh, ia direka di negara kita, dibuat di Malaysia dan dibawa atau dipandu oleh masyarakat di seluruh dunia,” katanya menerusi wawancara yang dikongsikan kepada Astro AWANI hari ini.
Menurut Zuaida, Malaysia mempunyai kelebihan tersendiri untuk menyokong perkembangan itu menerusi ekosistem automotif yang matang serta industri elektrik dan elektronik (E&E) yang kukuh.
Kekuatan berkenaan penting kerana pembangunan kenderaan elektrik (EV) dan kenderaan generasi baharu memerlukan integrasi industri automotif dengan elektronik, semikonduktor, perisian dan kecerdasan buatan (AI).
“Malaysia mempunyai kelebihan yang unik. Kita mempunyai kelebihan daya saing, terutamanya dari segi ekosistem yang mungkin tidak ada di mana-mana negara.
“Ekosistem dimaksudkan adalah berkaitan dengan ekosistem automotif, di mana ekosistem automotif kita sudah matang dan tertubuh,” katanya.
Dari 2017 hingga suku pertama 2026, Malaysia merekodkan RM139.9 bilion pelaburan diluluskan dalam sektor kelengkapan pengangkutan melibatkan lebih 2,500 projek yang dijangka menjana kira-kira 250,000 peluang pekerjaan.
Bagi suku pertama 2026 sahaja, sektor itu merekodkan pelaburan sebanyak RM2.2 bilion.
Namun, Zuaida berkata, masih terdapat jurang dalam rantaian nilai semikonduktor automotif negara, khususnya melibatkan vendor Tier 1.
Vendor berkenaan memainkan peranan mengintegrasikan pelbagai komponen bagi menghasilkan sistem atau modul lengkap sebelum dibekalkan kepada pengeluar peralatan asal (OEM).
Menurutnya, OEM memilih pembekal yang mampu memenuhi piawaian global termasuk dari segi kos, kebolehpercayaan, teknologi dan keselamatan.
“Itulah jurang kita sekarang kerana apabila kita melihat Tier 1, kita perlu mempunyai kepakaran dalam mengintegrasikan peralatan elektronik dengan industri automotif itu sendiri,” katanya.
Sehubungan itu, antara pelaburan bernilai tinggi yang mahu ditarik Malaysia termasuk cip khusus EV bagi pengurusan kuasa, elektronik kuasa untuk pengecasan berkelajuan tinggi, sensor pintar termaju, teknologi bateri dan pengawal motor.
Produk berkenaan merupakan sebahagian daripada rantaian nilai elektronik yang menyokong pengeluaran EV dan kenderaan generasi baharu.
Pada masa sama, projek yang membuka lebih banyak peluang perniagaan kepada vendor tempatan, meningkatkan penggunaan kandungan tempatan serta membangunkan rantaian bekalan akan menerima penilaian lebih tinggi di bawah kerangka insentif baharu.
Zuaida berkata, kejayaan membangunkan industri itu juga diharap dapat mewujudkan lebih banyak pekerjaan bernilai tinggi termasuk dalam bidang kejuruteraan dan pembangunan perisian, selain meningkatkan pemindahan teknologi kepada syarikat tempatan.