KUALA LUMPUR: Kementerian Pertahanan (MINDEF) akan membuka semula tender terbuka bagi perolehan helikopter utiliti tempur secara sewaan untuk kegunaan Tentera Darat Malaysia.
Perkara itu susulan kenyataan Menteri Pertahanan, Dato' Seri Mohamed Khaled Nordin minggu lalu yang memberitahu tender baharu ini sebagai langkah memperkukuh keupayaan udara pasukan darat negara.
Advertisement
Kontrak sewaan yang dicadangkan melibatkan tempoh selama lima tahun.
Langkah tersebut dilihat sebagai fasa penetapan semula pembangunan keupayaan Pasukan Udara Tentera Darat (PUTD).
Sepertimana dijangka, pencarian helikopter baharu untuk Tentera Darat Malaysia tetap diteruskan walaupun sebelum ini MINDEF telah membatalkan kontrak sewaan Sikorsky UH-60 Black Hawk bernilai RM187.5 juta.
Pembatalan itu dibuat selepas kontrak berkenaan gagal disempurnakan serta isu usia pesawat yang dikatakan terlalu lama.
Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, turut menzahirkan kebimbangan terhadap cadangan memperoleh helikopter Black Hawk berusia lebih 30 tahun.
Baginda menegaskan bahawa aspek keselamatan penerbangan dan risiko kepada juruterbang perlu diberi perhatian serius.
Projek Black Hawk juga menyaksikan MINDEF telah menyiapkan prasarana yang diperlukan PUTD iaitu hangar baharu di Pangkalan Udara Kuantan, Pahang.
Walaupun tiada maklumat lanjut berhubung kos sewaan helikopter baharu ini, namun ia dijangka dalam julat harga RM200 juta.
Apa yang menarik perhatian adalah tender terbaharu itu juga secara khusus menyebut kategori helikopter utiliti tempur atau Combat Utility Helicopter (CUH).
Istilah ini berbeza dengan tender terdahulu yang hanya menyatakan keperluan kepada helikopter utiliti biasa.
Secara umum, helikopter utiliti digunakan untuk pelbagai tugas seperti pengangkutan anggota, logistik dan pemindahan perubatan.
Namun helikopter CUH mempunyai keupayaan tambahan sebagai platform tempur ringan dengan integrasi sistem persenjataan.
Pesawat jenis ini juga dibina dengan kerangka lebih kukuh bagi melaksanakan manuver taktikal di medan operasi.
Selain itu, CUH dilengkapi perlindungan balistik yang membolehkannya beroperasi di kawasan konflik berisiko tinggi.
Antara model CUH yang terkenal di pasaran termasuk Sikorsky S-70 Black Hawk, Leonardo AW149, Bell UH-1Y Venom dan NHIndustries NH90.
Turut tersenarai ialah Airbus H225M yang terkenal dengan keupayaan operasi jarak jauh dan kemampuan membawa sehingga 28 anggota.
Bagi PUTD, pemilihan helikopter CUH yang sesuai perlu mengambil kira keseimbangan antara keupayaan tempur, bantuan bencana serta aspek logistik dan penyelenggaraan jangka panjang.
Sebelum ini, kerajaan pada November 2024 mengumumkan kontrak pajakan bernilai RM16.546 bilion selama 15 tahun dengan Weststar Aviation Sdn. Bhd.
Kontrak itu melibatkan perolehan 28 buah helikopter Leonardo AW149 untuk kegunaan pasukan keselamatan negara.
Bagaimana pun, Tentera Darat Malaysia tidak termasuk dalam senarai pasukan yang akan menerima helikopter tersebut. - DagangNews.com