Skip to main content

Bisnes

Misi eksport MATRADE ke Kemboja atasi sasaran awal, jana jualan RM186 juta

81740486044_tbReezalMerican.jpg
Reezal Merican berkata pencapaian itu jelas memaparkan keyakinan kukuh serta peningkatan permintaan dalam kalangan perniagaan Kemboja terhadap produk serta perkhidmatan yang ditawarkan oleh Malaysia. - Gambar fail
Advertisement

KUALA LUMPUR: Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) berjaya mencatatkan jualan bernilai RM186 juta menerusi program Misi Pecutan Eksport (EAM) ke Kemboja, sekali gus mengatasi sasaran awal RM100 juta.

Pengerusinya, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata pencapaian itu jelas memaparkan keyakinan kukuh serta peningkatan permintaan dalam kalangan perniagaan Kemboja terhadap produk serta perkhidmatan yang ditawarkan oleh Malaysia.

“Misi itu memaparkan potensi untuk mengangkat perdagangan Malaysia-Kemboja melangkaui transaksi individu dan ke arah jalinan kerjasama lebih kukuh, pautan perniagaan lebih ketara serta pertumbuhan mampan bagi kedua-dua negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Misi eksport itu yang diketuai oleh Reezal Merican, disertai 26 syarikat Malaysia daripada pelbagai sektor pertumbuhan tinggi, termasuk barangan pengguna bergerak pantas, makanan bungkus yang diperakui halal, baja bio, input pertanian khusus, produk berasaskan minyak sawit, produk penjagaan diri serta penyelesaian bagi kejuruteraan industri.

Program yang turut disokong oleh rakan strategik, Dewan Perniagaan Malaysia di Kemboja dan Khmer Times, turut menyaksikan MATRADE memudah cara lebih 260 pertemuan perniagaan kepada perniagaan (B2B) yang diatur khusus, menghubungkan pengeksport Malaysia dengan pengimport Kemboja, pembeli rangkaian peruncitan dan pengedar utama, termasuk Chip Mong Retail, DKSH (Cambodia) Ltd, Goodhill Enterprise serta Westec Media.

Hubungan perdagangan dua hala antara Malaysia dan Kemboja mencecah RM5.0 bilion pada 2025 manakala perdagangan bagi tempoh separuh pertama 2026 melonjak 51.1 peratus tahun ke tahun kepada RM3.32 bilion.

Pada Mesyuarat Ketiga Suruhanjaya Bersama bagi Kerjasama Dua Hala Malaysia-Kemboja di Kuala Lumpur baru-baru ini, kedua-dua negara menegaskan komitmen untuk memperkukuh hubungan ekonomi dua hala serta mencapai sasaran perdagangan dua hala bernilai US$2 bilion (US$1 = RM4.04) dalam tempoh tiga tahun.

Menurut MATRADE, pihaknya akan terus memantau dan memudah cara penunjuk perniagaan yang diperolehi misi ini menerusi pejabat tetap di Phnom Penh.

Dalam pada itu, pemimpin dan pembeli korporat Kemboja turut dipelawa untuk menyertai Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) ke-22 yang akan berlangsung pada 23 hingga 26 September 2026 di Kuala Lumpur yang menjadi platform serta peluang interaksi dengan pembekal pelbagai sektor dari Malaysia dan antarabangsa.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement