KUALA LUMPUR: Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) bersedia untuk meningkatkan usaha dan strategi bagi memastikan usahawan Bumiputera serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC) memperolehi manfaat daripada Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP).

Menurut kementerian itu, pelbagai inisiatif jangka pendek dan panjang telah dirangka dan dilaksanakan termasuk program pembangunan pengeksport dan penggalakan eksport yang terbuka kepada syarikat tempatan melalui agensinya Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE).

Pada 2023, MATRADE mengadakan 17 program penggalakan eksport yang menyasarkan negara anggota CPTPP termasuk program pameran perdagangan antarabangsa, program penyumberan antarabangsa dan misi perdagangan dan pelaburan.

"Selain itu, program padanan perniagaan oleh MATRADE juga dilaksanakan dengan melibatkan usahawan dan syarikat Bumiputera supaya mereka dapat dipadankan dengan syarikat bertaraf global," kata kementerian itu dalam jawapan lisan yang disiarkan di laman sesawang Parlimen semalam.

MITI berkata demikian sebagai menjawab soalan Datuk Dr Ku Abd Rahman Ku Ismail (PN-Kubang Pasu) mengenai perancangan kementerian bagi menjamin kepentingan usahawan, syarikat Bumiputera serta GLC tidak terjejas susulan ratifikasi CPTPP.

Menurut kementerian itu, MATRADE juga memfokuskan usaha untuk memudahcarakan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), termasuk dari kalangan usahawan Bumiputera untuk menembusi pasaran antarabangsa melalui Geran Pembangunan Pasaran (MDG) dan menawarkan Dana Eksport Perkhidmatan (SEF) bagi penyedia perkhidmatan Malaysia untuk memperoleh akses pasaran eksport perkhidmatan ke negara-negara anggota CPTPP.

"Dalam Bab 17 (Syarikat Milik Kerajaan), Perjanjian CPTPP, Malaysia telah berjaya merundingkan ruang dasar bagi GLC negara untuk terus melaksanakan dasar sosioekonomi dan pembangunan, terutamanya bagi melindungi Bumiputera, sekali gus memastikan agar kepentingan syarikat GLC di bawah Menteri Kewangan (Diperbadankan) [MKD] adalah terjamin di sisi Perjanjian CPTPP," katanya.

Selain itu, Perjanjian CPTPP juga menetapkan pewujudan jawatankuasa khas sebagai platform untuk Malaysia mengadakan usaha kerjasama dengan negara-negara anggota CPTPP.

Justeru, katanya, bermula 2024, Kementerian Kewangan akan mengambil kira elemen Dasar Pemerkasaan Bumiputera dalam penetapan sasaran tahunan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) bagi MKD untuk terus memperkukuh keupayaan segmen berkenaan.

KPI syarikat MKD termasuk kelulusan pembiayaan kepada syarikat Bumiputera khusus bagi syarikat modal teroka dan Institusi Kewangan Pembangunan.

Selain itu, perbelanjaan perolehan keseluruhan dengan vendor Bumiputera, jumlah Bumiputera dilatih melalui program syarikat dan komposisi pekerja Bumiputera dalam syarikat juga dijadikan sebahagian indikator yang ditetapkan.

"Perkara-perkara yang telah dinyatakan merupakan antara usaha berterusan kerajaan bagi menjamin kepentingan usahawan dan syarikat Bumiputera serta GLC terpelihara di bawah Perjanjian CPTPP.

"Sebagai sebuah kerajaan yang prihatin dalam menjamin kepentingan rakyat, MITI bersama-sama kementerian yang lain sentiasa bersedia untuk meningkatkan daya usaha dan strategi untuk menjamin kesejahteraan ekonomi setiap lapisan masyarakat Malaysia, termasuklah dari kalangan usahawan dan syarikat Bumiputera serta GLC, susulan pelaksanaan Perjanjian CPTPP," katanya.

-- BERNAMA