KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Antarabangsa Dan Industri (MITI) mengambil lima langkah untuk menambah baik kedudukan negara Ranking Daya Saing Dunia Institut Antarabangsa bagi Pembangunan Pengurusan (IMD) tahun 2022.

Menterinya, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, usaha itu seiring dengan komitmen bersepadu untuk membangunkan ekosistem yang mesra perniagaan demi kelestarian ekonomi jangka panjang.

Menurutnya, ia termasuklah usaha menarik pelaburan berkualiti tinggi, merancakkan perdagangan dan melonjak pertumbuhan produktiviti negara.

Menurut Tengku Zafrul, langkah-langkah tersebut ialah:

1. Memperteguh Pendekatan Keseluruhan Negara (Whole-of-Nation Approach) berteraskan kerjasama sektor awam dan swasta dalam mengenal pasti dan menambah baik petunjuk kritikal daya saing.

"Salah satu contoh pendekatan Keseluruhan Negara yang berkesan dan bersepadu adalah dalam inisiatif pembinaan hospital swasta bertingkat tinggi yang sebelum ini hanya dihadkan kepada 12 tingkat.

"Melalui usahasama erat antara pihak kerajaan di peringkat Persekutuan, negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) serta sektor swasta, telah berjaya memudah cara kawal selia pembinaan bangunan hospital melebihi 12 tingkat melalui pendekatan peraturan tangkas.

"Garis panduan Technical Design Reference for Disaster Preparedness in Setting Up New High-Rise Private Hospital telah diterbitkan sebagai rujukan semua pihak berkaitan inisiatif ini.

2. Merancakkan penggunaan teknologi digital di kalangan komuniti perniagaan dan masyarakat menerusi realisasi rangka kerja MyDigital untuk menambah baik penyediaan infrastruktur teknologi digital secara menyeluruh.

"Bagi menggalakkan penerimagunaan teknologi digital di peringkat firma, MPC giat melaksanakan inisiatif Enterpris Produktif yang memfokuskan kepada pemindahan pengetahuan, kepakaran dan teknologi daripada syarikat-syarikat berdaya saing dan berproduktiviti tinggi kepada syarikat-syarikat pembekal mereka terutamanya syarikat Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS)."

3. Menambah baik persekitaran perniagaan melalui usaha penambah baikan peraturan perniagaan yang telus dan inklusif memerlukan pendekatan Keseluruhan Kerajaan dan berteraskan bukti.

"Semakan terhadap peraturan perniagaan hendaklah dilaksanakan dengan berstruktur dan berkala bagi menjamin peraturan yang berkualiti, relevan, tangkas dan responsif dengan keperluan dan keadaan semasa.

"Perluasan pelaksanaan program MyMudah yang dipelopori MPC dan dipantau Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan (PEMUDAH) dilihat mampu menangani masalah beban peraturan yang tidak wajar terhadap perniagaan.

"Inisiatif ini telah diperluaskan dengan pelaksanaan Unit MyMudah di semua kementerian, agensi persekutuan, kerajaan negeri dan PBT, termasuk persatuan perniagaan bertujuan mempercepatkan usaha-usaha ke arah memudahkan urusan perniagaan secara menyeluruh."

4. Memperkukuh pembangunan bakat melalui program Academy in Factory (AiF) iaitu kolaborasi inovatif triple-helix yang menyasarkan penyertaan bakat tempatan.

"AiF mampu menyelesaikan cabaran kekurangan tenaga kerja di sektorsektor berproduktiviti tinggi dan mengurangkan kebergantungan terhadap pekerja asing.

"Program AiF sedang giat dilaksanakan untuk industri elektrikal dan elektronik, automotif dan sains hayat."

5. Memperkasa fungsi PEMUDAH sebagai unit pemudah cara iklim pelaburan dan persekitaran perniagaan bagi memastikan keberkesanan usaha meningkatkan prestasi dan kedudukan daya saing negara.