FIRMA kamera ikonik Jerman, Leica Camera AG, dilaporkan berpotensi bertukar tangan kepada firma pelaburan dari China susulan rundingan pengambilalihan yang sedang berlangsung.
Menurut Amanz yang memetik laporan media antarabangsa, firma ekuiti persendirian HongShan Capital Group (HSG) muncul sebagai pembida utama dan kini mengadakan perbincangan untuk membeli kira-kira 45 peratus pegangan saham yang dimiliki oleh Blackstone dalam Leica.
Sumber industri turut mendedahkan bahawa HSG mempertimbangkan rancangan jangka panjang untuk mengambil alih baki pegangan sekitar 55 peratus yang dipegang oleh keluarga Kaufmann, sekali gus berpotensi menjadi pemilik tunggal jenama kamera premium itu.
Rundingan semasa dilaporkan meletakkan nilai pasaran Leica pada sekitar €1 bilion (kira-kira RM4.35 bilion), dengan sebarang perjanjian masih di peringkat awal dan belum dimuktamadkan.
Sekiranya pengambilalihan penuh itu direalisasikan, HSG dijangka meneliti kemungkinan melaksanakan tawaran awam permulaan (IPO) bagi membawa semula Leica ke pasaran saham pada masa hadapan.
Dari sudut sejarah korporat, Andreas Kaufmann sebelum ini membeli kira-kira 95 peratus pegangan dalam Leica pada sekitar AS$85 juta pada 2004, sebelum menjual kira-kira 45 peratus kepada Blackstone pada 2011 dalam urus niaga bernilai kira-kira AS$179 juta.
Jika urus niaga ini dimuktamadkan, Leica bakal menjadi antara jenama kamera premium Eropah yang dikuasai oleh entiti korporat dari China.
Sebelum ini, syarikat teknologi China, DJI, telah menjadi pemegang saham utama jenama kamera Sweden, Hasselblad, sejak 2017.