BISNES
MITI, MIDA lipat ganda usaha perkenal reformasi polisi tingkat keyakinan pelabur ke Malaysia

MITI berkata kerajaan mengutamakan pelaburan berkualiti yang akan dapat meningkatkan kompleksiti ekonomi, mewujudkan peluang pekerjaan bernilai tinggi untuk rakyat dan memperluas rangkaian domestik. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) akan terus melipatgandakan usaha dalam memperkenalkan reformasi polisi bagi meningkatkan keyakinan pelabur serta mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelaburan pilihan.
MITI berkata kementerian itu dan MIDA sedar bahawa ketidaktentuan perdagangan global akibat situasi geopolitik yang tidak menentu memerlukan suatu pendekatan yang berkesan supaya Malaysia terus kekal relevan sebagai destinasi pelaburan terpilih di rantau ini menerusi pelaksanaan langkah dan strategi untuk merangsang pelaburan swasta.
"Antara pendekatan dan strategi berfokus yang telah dan sedang dilaksanakan secara pendekatan menyeluruh kerajaan untuk merangsang pelaburan swasta termasuk pendekatan reformasi terhadap mekanisme pemberian insentif cukai," katanya dalam jawapan bertulis yang dimuat naik di laman sesawang Parlimen semalam.
MITI berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Seri Hasni Mohammad (BN-Simpang Renggam) yang ingin tahu pendekatan kementerian bagi merangsang pelaburan swasta yang dijangka menurun akibat ketidaktentuan perdagangan global.Menurutnya kerajaan akan memperkenalkan Kerangka Insentif Pelaburan Baharu (NIIF) yang akan dilaksanakan mulai suku ketiga 2025, yang merupakan penambahbaikan dengan memberi tumpuan kepada aktiviti bernilai tinggi dan kesan limpahan ekonomi.
"NIIF ini akan memperkenalkan mekanisme baharu dalam penilaian pemberian insentif yang akan memastikan kadar insentif yang lebih baik diberikan kepada pelaburan yang berkualiti tinggi," katanya.
MITI berkata kerajaan mengutamakan pelaburan berkualiti yang akan dapat meningkatkan kompleksiti ekonomi, mewujudkan peluang pekerjaan bernilai tinggi untuk rakyat dan memperluas rangkaian domestik.
Selain itu, tumpuan turut diberikan untuk membangunkan kluster ekonomi baharu dan memperkukuh yang sedia ada, selain mempertingkat keterangkuman dan inklusiviti serta menyokong agenda alam sekitar, sosial dan tadbir urus.
Sementara itu, MITI berkata Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) turut mengambil langkah mitigasi dalam menangani impak tarif timbal balas dengan mempelbagaikan pasaran eksport negara dengan meneroka destinasi baharu di pasaran bukan tradisional.
Katanya Malaysia juga sedang merunding beberapa perjanjian perdagangan bebas (FTA) baharu iaitu ASEAN-Kanada; Malaysia-Korea; Malaysia-Kesatuan Eropah; dan Malaysia-Majlis Kerjasama Teluk (GCC).
"Pada masa yang sama, kementerian juga sedang meneliti potensi FTA dengan beberapa negara lagi seperti dengan Bangladesh dan Sri Lanka," kata kementerian bagi menjawab soalan Tan Sri Abdul Hadi Awang (PN-Marang).
Abdul Hadi ingin tahu mengenai dasar Malaysia untuk melindungi ekonomi rakyat khususnya golongan marhaen dalam situasi tarif tinggi dari Amerika Syarikat dan keberkesanan strategi memperkukuh perdagangan antara negara ASEAN untuk menyerap kesan negatif itu.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami