KUALA LUMPUR: Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) optimistik 2024 akan menjadi tahun yang lebih positif bagi pelaburan langsung asing (FDI) ke dalam Malaysia, memanfaatkan perancangan yang telah dirangka.

Menterinya, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini, Malaysia merekodkan pelaburan bernilai RM132.6 bilion, kira-kira 60 peratus daripada sasaran pelaburan bagi 2023, yang melepasi sedikit sasaran itu.

"Berita baik adalah hampir separuh daripada itu sebenarnya merupakan pelaburan langsung domestik (DDI) dan bakinya FDI. Kita berharap momentum ini akan berterusan," katanya kepada pemberita selepas perbincangan meja bulat mengenai Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030, anjuran MIDF di sini, pada Isnin.

Beliau berkata penting untuk menekankan DDI memandangkan terdapat hubung kait positif di antara FDI dengan DDI.

Peningkatan FDI berkait rapat secara positif dengan peningkatan DDI kerana akan mewujudkan limpahan, katanya.

"Meneliti sebab untuk kita perlu menarik FDI, terdapat tiga sebab utama iaitu FDI mencipta pekerjaan. Jadi, akan berlaku limpahan penting. Kedua, kita mahu memastikan FDI mewujudkan limpahan kepada industri kita, sama ada sektor pembinaan atau dari segi bekalan.

"Yang terakhir, untuk memastikan kita meningkatkan kekompleksan ekonomi sebagai sebuah negara pengeksport. Perdagangan kita kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahun lepas adalah 160 peratus," katanya.

Tengku Zafrul berkata dalam Belanjawan 2024, sebanyak RM200 juta diperuntukkan untuk inisiatif NIMP 2030 yang meliputi pelbagai sektor utama dengan tumpuan kepada empat misi utama.

Antara misi utama itu adalah untuk memajukan kekompleksan ekonomi dan antara tumpuannya untuk memperluas kepada aktiviti nilai tambah tinggi dalam rantaian nilai di samping membangunkan keseluruhan ekosistem untuk menyokong aktiviti nilai tambah tinggi.

"Kita perlu membangunkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan yang kukuh dalam pembuatan dan perkhidmatan berkaitan untuk menyokong peneraju industri serta menyepadukan rantaian nilai.

"Jadi, bagi industri yang sedang meningkatkan rantaian nilai, mereka memerlukan sokongan. Mereka layak mendapat pelaburan seperti ini daripada peruntukan belanjawan RM200 juta. Namun, ini daripada pihak kerajaan. Terdapat juga sokongan daripada pihak swasta, terutama daripada institusi kewangan dan pasaran modal," katanya.

Ketika ditanya mengenai keputusan kerajaan untuk menaikkan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) daripada enam peratus kepada lapan peratus seperti yang diumumkan semasa pembentangan Belanjawa 2024, beliau berkata ia tidak akan memberi banyak kesan kepada industri namun masih perlu untuk memantau perkara yang berlaku daripada keputusan itu.

Beliau berkata industri perlu memahami keperluan kerajaan, dan sebagai penggubal dasar, kerajaan akan meneliti kebaikan dan keburukan dalam mencapai keseimbangan yang betul.

"Kita mempunyai tanggungjawab fiskal, dan juga bertanggungjawabab kepada Parlimen dan kepada rakyat untuk mencapai pertumbuhan ekonomi yang mampan dan inklusif kepada semua.

"Jadi bagi industri, sebarang bentuk cukai dasar fiskal juga akan menjadi sesuatu yang perlu syarikat rangkumkan sebagai sebahagian daripada rancangan perniagaan pada masa hadapan," katanya.

-- BERNAMA