Skip to main content

Politik

UMNO konsisten jadi kuasa politik utama pada PRU akan datang - Tok Mat

KUALA LUMPUR, 2 Mei -- Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan menyampaikan ucapan pembukaan pada Konvensyen 80 Tahun UMNO di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WCTKL) hari ini.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Mohamad menyampaikan ucapan pembukaan pada Konvensyen 80 Tahun UMNO di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WCTKL) hari ini. --fotoBERNAMA

UMNO kekal konsisten dalam cita-citanya untuk kembali menjadi kuasa politik utama pada pilihan raya akan datang, meskipun mengakui hubungan parti itu dengan masyarakat, khususnya orang Melayu, tidak lagi semesra seperti dahulu.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan menegaskan bahawa realiti semasa memperlihatkan UMNO berdepan cabaran besar apabila sebahagian masyarakat dilihat semakin menjauh dan melupakan asas perjuangan serta sumbangan parti Melayu itu.

Advertisement

“UMNO terus solid dalam cita-cita untuk menjadi kuasa politik utama, namun kita tidak boleh leka. Realitinya hari ini tidak semesra seperti dulu. Ada yang seolah-olah melupakan kejayaan dan asas yang telah kita bina,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Ucapan Pembukaan Konvensyen UMNO ke-80 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), di sini pada Sabtu.

Mohamad menjelaskan bahawa banyak institusi dan dasar penting yang menjadi tunjang pembangunan orang Melayu lahir daripada perjuangan UMNO, termasuk hasil daripada agenda besar seperti konvensyen Bumiputera.

Dalam pada itu, beliau turut menegaskan bahawa UMNO kekal berpegang kepada prinsip perjuangan yang utuh dengan memberi fokus kepada usaha memulihkan parti serta memastikan tadbir urus kerajaan berjalan dengan baik.

“Walaupun didesak dan dikritik, UMNO memilih jalan matang dan istiqamah. Kita tidak terjebak dalam politik cacian atau mengganggu urusan parti lain,” ujarnya.

Mengulas ke hadapan, beliau membangkitkan persoalan mengenai hala tuju baharu UMNO dalam mendepani cabaran globalisasi dan era digital yang semakin kompleks.

Beliau berkata, antara cabaran utama ialah bagaimana untuk melonjakkan kebolehsaingan bangsa Melayu secara drastik serta memposisikan golongan profesional Melayu di peringkat antarabangsa, di samping mengurus kesan globalisasi terhadap kelangsungan politik dan sosioekonomi mereka.

Must Watch Video