KUALA LUMPUR: Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) meneruskan misi mencari penyelesaian dan inisiatif berinovasi yang dapat memberi manfaat kepada Keluarga Malaysia menerusi pelancaran program MYHackathon 2022.

MYHackathon 2022 adalah kesinambungan acara MYHackathon 2020 yang  diperkenalkan oleh Cradle Fund Sdn Bhd (Cradle) iaitu agensi di bawah MOSTI dan merupakan salah satu inisiatif program MYStartup.

Ia merupakan platform yang diwujudkan untuk para techpreneur, inovator, jurutera perisian, dan juga rakyat Malaysia bagi menghasilkan idea penyelesaian yang berinovasi serta berteknologi untuk membantu menambah baik perkhidmatan awam.

Menteri MOSTI, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, MYHackathon edisi 2022 akan memberi tumpuan kepada pencarian penyelesaian kepada proses pemulihan ekonomi negara.

“MYHackathon 2022 adalah platform terbaik yang menyediakan peluang bagi syarikat-syarikat start-up, perusahaan tempatan, mahupun individu untuk menawarkan penyelesaian berteknologi dalam menambah baik kualiti penyampaian kerajaan, seterusnya mengetengahkan idea dan inovasi masing-masing untuk dikomersialkan.

“Program MYHackathon 2022 ini juga secara tidak langsung berkait rapat dengan krisis sekuriti makanan yang mendapat perhatian khas Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong agar krisis ini ditangani segera.

"Usaha menangani isu krisis sekuriti makanan ini menjadi lebih bermakna jika rakyat turut berganding bahu dan sepakat untuk mengetengahkan penyelesaian berlandaskan teknologi," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Peranan yang dimainkan oleh teknologi dan inovasi serta barisan start-up yang kreatif dilihat mampu memberi penyelesaian yang bernas kepada isu sekuriti makanan tersebut.

Dengan tema ‘Hackathon Nasional Untuk Malaysia Yang Inklusif’, program yang bermula pada bulan Julai 2022 ini terdiri daripada dua kohort yang mana setiap fasa bakal mempunyai, secara minimum, lima pernyataan masalah.

Bagi kohort pertama, terdapat lima pernyataan masalah dikemukakan pihak kementerian dan agensi-agensi kerajaan, antaranya solusi untuk menyelesaikan masalah penyalahgunaan subsidi minyak masak rakyat (MOSTI), solusi digital memantau pengeluaran dan pemasaran hasil tani bagi tujuan ramalan tawaran dan permintaan hasil pertanian (Kementerian Pertanian dan Industri Makanan) dan solusi untuk aktiviti penuaian kelapa sawit yang lebih efektif (Konsortium Penyelidikan Mekanisasi dan Automasi Sawit).

Pernyataan masalah lain, termasuk solusi penggunaan robot untuk aktiviti early reconnaissance Search and Rescue (SAR) untuk Jabatan Bomba (Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan) dan solusi pengawalan pencerobohan dron bagi tujuan penyeludupan atau tinjauan tidak sah ke kawasan akses terhad untuk Jabatan Penjara (Kementerian Dalam Negeri).

Dalam pada itu, kohort pertama program MYHackathon 2022 berjaya menarik hampir 300 penyertaan daripada segenap lapisan masyarakat dari seluruh negara termasuklah individu, inovator tempatan, graduan universiti dan syarikat start-up.

Para peserta akan bekerjasama dengan kementerian-kementerian dan agensi-agensi terpilih bagi mengetengahkan penyelesaian atau solusi bagi pernyataan masalah merangkumi pelbagai keperluan dan cabaran yang dihadapi pihak kerajaan.

Cradle menyasarkan sebanyak 600 penyertaan melalui dua kohort yang mana pemenang bakal menerima geran permulaan bernilai sehingga RM250,000.00 dan bimbingan secara one-to-one untuk melaksanakan pembangunan projek rintis bagi tempoh 12 bulan.

Pihak MOSTI turut memperkenalkan satu kategori khas iaitu ‘Anugerah Khas Menteri MOSTI’ yang mana pemenang akan dipilih oleh panel yang terdiri daripada pengurusan kanan Cradle dan pengurusan tertinggi kementerian sebelum diangkat untuk penilaian akhir.

Pihak Cradle menjemput Keluarga Malaysia secara amnya untuk turut serta dalam program MYHackathon 2022 ini.

Untuk maklumat lanjut mengenai ekosistem start-up Malaysia, program-program yang bakal dianjurkan Cradle dan juga maklumat berkaitan, boleh layari www.mystartup.gov.my. - DagangNews.com