Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) menjangka untuk menambah nilai kontrak bagi kontraktor Bumiputera bagi laluan MRT Sungai Buloh-Kajang kepada RM9.145 bilion menjelang akhir tahun.

Anggaran terdahulu ialah RM8.56 bilion.

Pengarah Perhubungan Pemilik Kepentingan dan Tanah MRT Corp, Haris Fadzilah Hassan, berkata kontrak bernilai RM8.82 bilion telah diberikan kepada kontraktor Bumiputera setakat ini.

"Ini berjumlah 45 peratus daripada keseluruhan nilai kontrak yang diberikan setakat ini, iaitu melebihi sasaran awal, 43 peratus," katanya pada satu taklimat media.

Hingga Isnin, sebanyak 53 pakej kerja bernilai RM19.8 bilion telah pun ditenderkan, dengan 22 pakej kerja diberikan kepada kontraktor Bumiputera, katanya.

"Sebanyak 32 pakej lagi dijangka diagihkan menjelang akhir tahun. Bahagian Bumiputera adalah kira-kira RM321 juta daripada keseluruhan pakej itu," tegasnya.