PORT DICKSON: Permodalan Nasional Berhad (PNB) melancarkan dana unit amanah pendapatan tetap yang dikenali sebagai ‘ASN Sukuk’ menerusi syarikat pengurusan unit amanah milik penuhnya Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB).

Memberi tumpuan dengan menawarkan pelaburan alternatif yang stabil kepada pelabur, dana unit amanah baharu itu dilancarkan pada Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) yang diadakan di sini, hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif ASNB, Muzzaffar Othman berkata, ASN Sukuk memenuhi keperluan pelabur, khususnya mereka yang tidak mahu mengambil risiko serta ingin memperoleh pendapatan mampan dalam jangka sederhana hingga panjang.

Katanya, dana baharu itu diyakini mampu menarik pelabur untuk memiliki portfolio pelaburan Sukuk menerusi pelaburan minimum RM10 dengan pelaburan tambahan serendah RM1.

“ASN Sukuk ini berdasarkan portfolio Sukuk yang mana daripada 80 peratus sehingga 99 peratus Nilai Aset Bersih (NAB) adalah tertumpu kepada aset kelas tersebut dan kita punya portfolio serta produk ini sangat mudah kerana orang ramai boleh melabur RM10 sahaja sebagai permulaan dan kemudian nak tambah hanya RM1 sahaja minimum.

“Selalunya produk Sukuk ni adalah untuk pelabur yang tidak mahu mengambil risiko dan mahu melabur untuk jangka panjang dan medium sejajar dengan usaha Kumpulan PNB dalam memperluaskan rangkaian penawaran produknya bagi memenuhi keperluan pelabur Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perasmian MSAM 2022 di pantai Batu 1, di sini yang dirasmikan oleh Pengerusi Kumpulan PNB, Tun Ariffin Zakaria.

MSAM 2022 yang mula dianjurkan pada tahun 2000 kembali diadakan tahun ini selepas dua tahun tertangguh susulan pandemik COVID-19. Ia turut menyasarkan kira-kira 150,000 pengunjung sepanjang penganjurannya yang bermula hari ini sehingga 30 November ini.

Acara literasi kewangan tahunan yang melibatkan kira-kira 50 pempamer itu turut disertai oleh syarikat strategik PNB termasuk Maybank Bhd, Sime Darby Plantation Bhd dan UMW Holdings Bhd.

Dengan tema ‘Melestarikan Pelaburan ke Arah Masa Hadapan Mampan', MSAM kali ini menerapkan pelbagai elemen yang menggabungkan ciri-ciri mesra alam seperti penggunaan panel solar, bumbung separa lutsinar, sistem takungan air hujan, tong kitar semula dan ‘vending machine’ kitar semula.

Mengulas lanjut ujar Muzaffar, sempena pelancaran dana berkenaan, pelabur juga boleh menikmati caj jualan yang lebih rendah sebanyak satu peratus untuk sebarang jumlah pelaburan yang dibuat melalui perkhidmatan kaunter di cawangan dan ejen ASNB seluruh negara sehingga 31 Mac 2023.

“Kempen khas turut ditawarkan sepanjang MSAM 2022 iaitu tiada caj jualan untuk pelaburan RM1,000 dan ke atas untuk semua dana harga berubah ASNB, termasuk ASN Sukuk, bagi transaksi melalui portal dan aplikasi mudah alih myASNB, cawangan ASNB di seluruh negara, serta Laman ASNB @ MSAM 2022,” tambahnya.