ISTANBUL: OpenAI pada Jumaat memfailkan saman balas terhadap Apple selepas syarikat gergasi teknologi itu menyamannya pada Jun, dengan mendakwa pembangun ChatGPT itu mencuri rahsia perdagangan, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Dalam saman balas yang difailkan di Mahkamah Daerah Utara California, OpenAI mendakwa amalan pengambilan pekerja Apple membuka ruang kepada syarikat itu untuk menuduh kakitangan daripada pelbagai jabatan serta majikan baharu mereka menyalahgunakan maklumat sulit.
Syarikat itu berhujah bahawa Apple secara tidak langsung mewujudkan "situasi yang membolehkannya menuduh hampir mana-mana pekerja jabatan dan majikan baharu mereka" mencuri rahsia perdagangan miliknya.
Mengulas mengenai tindakan undang-undang itu, jurucakap Apple memberitahu CBS News pada Jumaat bahawa kes berkenaan melibatkan tindakan mencuri dan menggunakan secara sengaja maklumat sulit berkaitan produk, teknologi serta proses yang belum dilancarkan, oleh kakitangan OpenAI.
Apple menolak saman balas OpenAI dengan menyifatkannya sebagai cubaan mengalihkan perhatian daripada dakwaan asal syarikat itu. Apple turut mendesak OpenAI agar berhenti menggunakan maklumat sulit miliknya.
Dalam saman yang difailkan pada Jun, Apple mendakwa OpenAI dan dua bekas pekerjanya, iaitu Ketua Pegawai Perkakasan Tang Tan, serta kakitangan teknikal Chang Liu, mengambil maklumat hak milik syarikat bagi membantu OpenAI membangunkan produk perkakasannya sendiri.
Bagaimanapun, dalam saman balas itu, OpenAI berhujah bahawa amalan pengambilan pekerja Apple direka untuk mewujudkan perangkap perundangan yang berpotensi terhadap pekerja yang meninggalkan syarikat itu serta majikan baharu mereka.
Menurut OpenAI, Apple boleh menggunakan dakwaan sedemikian apabila melihat peluang untuk menyekat pesaing berpotensi.
Pertikaian undang-undang itu berlaku ketika OpenAI dijangka mengembangkan operasinya dalam pembangunan perkakasan, sekali gus berpotensi meletakkannya dalam persaingan yang lebih langsung dengan Apple.
Pada Julai 2025, OpenAI mengambil alih “io” Products Inc., sebuah syarikat pemula perkakasan kecerdasan buatan (AI) yang diasaskan oleh bekas Ketua Reka Bentuk Apple Jony Ive.
-- BERNAMA-ANADOLU